![]() |
Surat permohonan MyKAS tular didakwa diminit Ketua Menteri Sabah pada 2019. |
KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak melayan dan meluluskan sebarang permohonan mengenai dokumen pengenalan diri secara sewenang-wenangnya, walaupun disertakan dengan surat sokongan daripada mana-mana pihak berkepentingan.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pihaknya menegaskan bahawa setiap permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri sama ada MyKAS, MyPR dan MyKAD adalah tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang, peraturan dan dasar yang berkuat-kuasa.
Jelasnya, semua permohonan akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
"Sebarang surat sokongan, minit cadangan atau permohonan daripada mana-mana pihak, termasuk pemimpin politik, agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan tidak memberi sebarang jaminan automatik terhadap kelulusan sesuatu permohonan.
"Pertimbangan terhadap pandangan atau sokongan dari pihak berkepentingan boleh diambil kira, namun kelulusan tetap melalui proses tapisan dan verifikasi yang ketat seperti semakan fakta dan dokumen serta siasatan latar belakang pemohon," jelas dalam kenyataan terbabit.
Dalam pada itu, JPN turut menjelaskan MyKAS merupakan dokumen pengenalan diri Pemastautin Sementara yang diberikan kepada individu yang lahir di Malaysia tetapi status kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan.
"Pemegang MyKAS tidak memperoleh sebarang kelebihan kewarganegaraan, sebaliknya perlu memenuhi syarat-syarat ketat sebelum boleh memohon status MyPR (Pemastautin Tetap) dan seterusnya MyKAD (Warganegara), bergantung kepada tempoh permastautinan dan kelayakan yang ditetapkan.
"Walau bagaimanapun, bagi pemegang MyKAS yang diluluskan secara bertempoh setiap lima tahun, mereka masih perlu berusaha mengesan asal usul mereka juga, seperti yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Jabatan ini sentiasa komited dalam memastikan tadbir urus yang telus dan profesional dalam urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri," jelasnya.
Sebelum ini, satu hantaran memaparkan sekeping surat bertarikh 26 April 2019 yang didakwa mengandungi minit oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berkenaan sokongan terhadap permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri kepada seorang individu dari Semporna tular di laman media sosial.