Orang ramai dijemput hadir menyaksikan Teater Muzikal Seni Warisan: Pentas Alap Bana sabtu ini

Mohd Yusni (empat kanan) bergambar kenangan selepas sidang media.

KOTA KINABALU : Orang ramai dijemput hadir menyaksikan Teater Muzikal Seni Warisan: Pentas Alap Bana di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, Sabtu ini.

Pengarah Penyiaran Sabah, Mohd Yusni Mohamed Ali berkata persembahan teater muzikal itu akan bermula pada 8.30 malam dan kemasukan adalah percuma.

“Teater muzikal ini  diinspirasikan daripada cerita-cerita rakyat Sabah yang diolah secara kreatif untuk disesuaikan dengan keadaan semasa dan menjadi simbolik kepada pencarian jati diri, warisan dan kekayaan budaya etnik Sabah.

"Ia dipersembahkan dalam bentuk gabungan pelbagai seni persembahan seperti muzik, tarian, nyanyian serta penceritaan budaya tempatan," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Rancangan Seni Warisan Pentas Alap Bana di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, pada Khamis.

Beliau berkata, teater muzikal itu mengetengahkan budaya pelbagai etnik utama di Sabah seperti Bajausamah, Bajau Pantai Timur, Suluk, Kadayan, Melayu Brunei, Kadazandusun dan Murut yang merangkumi aspek tarian dan muzik tradisional, busana, permainan rakyat, makanan warisan serta bahasa pertuturan.

“Selain itu, lagu-lagu popular semasa turut diberi sentuhan tradisional menjadikan persembahan ini unik dan relevan untuk dinikmati oleh penonton dari pelbagai lapisan usia,” tambahnya.

Di samping itu, program anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu juga disiarkan secara langsung menerusi  menerusi RTMKlik, Facebook rasmi RTM Sabah dan Radio SABAHfm.

Program ini merupakan usaha memartabatkan seni dan warisan Sabah hasil kolaborasi  antara RTM, Kerajaan Negeri Sabah, JKKN Sabah, Perpustakaan Negeri Sabah, Persatuan Rumpun Bajausamah Sabah (PRBSS), Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS), dan Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN).

Hadir sama, Penolong Pengarah JKKN Sabah, Mohd Ishak Rashid dan Timbalan Pengarah Penyiaran Sabah, TS Cyril Simon.


(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama