PBS persoal kewajaran Shafie tandatangani surat sokongan permohonan dokumen pengenalan diri

Naib Presiden PBS, Datuk Arthur Sen.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) mempersoalkan kewajaran tindakan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang didakwa menandatangani surat sokongan untuk permohonan dokumen pengenalan diri seorang individu dari Semporna sehingga tular, baru-baru ini.

Naib Presiden PBS, Datuk Arthur Sen berkata semua pihak maklum kuasa dan tanggungjawab menilai dan mempertimbangkan permohonan berkaitan dokumen pengenalan diri adalah dibawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Namun begitu, isunya adakah wajar sokongan dalam bentuk nota bidai 'sukacita dapat diluluskan' dikeluarkan oleh Shafie Apdal? 

Beliau seharusnya memahami bahawa sokongan beliau tersebut bukannya datang daripada seorang wakil rakyat biasa. Namun kapasiti beliau pada masa itu sebagai seorang Ketua Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN).

"Saya tidak hairan kiranya ada kenyataan menyifatkan tindakan itu adalah wajar datangnya daripada pemimpin Parti Warisan (WARISAN) seperti Datuk Azis Jamman dan Datuk Junz Wong melihat kepada pendirian politik mereka termasuk berkaitan isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang cuba diperkenalkan oleh kerajaan WARISAN dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Arthur turut mempersoalkan tindakan salah seorang pemimpin WARISAN, Datuk Darrel Leiking yang pernah mewakili masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) di peringkat Persekutuan sebagai Ahli Parlimen Penampang sebelum ini.

"Adakah wajar seorang Ketua Menteri membuat catatan minit 'sukacita dapat diluluskan' terhadap permohonan MyKad dan MyKas?

"Apatah lagi mantan Ketua Menteri itu mengakui beliau tidak mengetahui latar belakang pihak-pihak yang berjumpa beliau.

"Sebagai Timbalan Presiden WARISAN termasuk semasa Mohd Shafie menjadi Ketua Menteri, adakah Darrel mengetahui Shafie acapkali 'menyokong' permohonan MyKad dan MyKas dengan nota bidai 'sukacita dapat diluluskan' yang mempunyai unsur mencampuri urusan dan bidang kuasa JPN dan KDN?" soalnya.

Dalam perkembangan lain, JPN dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya enegaskan tidak meluluskan sebarang permohonan mengenai dokumen pengenalan diri secara sewenang-wenangnya, walaupun disertakan dengan surat sokongan daripada mana-mana pihak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, JPN berkata setiap permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri sama ada MyKAS, MyPR dan MyKAD adalah tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang, peraturan dan dasar yang berkuat-kuasa.

Walau bagaimanapun, Mohd Shafie menjelaskan tindakan menandatangani surat sokongan untuk permohonan dokumen pengenalan diri hanya memenuhi tanggungjawab sebagai pemimpin kepada rakyat.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama