PBT pastikan keselesaan, perkhidmatan terbaik kepada masyarakat

KENANGAN... Isnin (tengah, duduk) bersama para VIP bergambar bersama penerima watikah perlantikan.

TAWAU:  Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi khususnya bagi memastikan keselesaan dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. 

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, Ahli Majlis PBT perlu bersedia meneroka bidang baharu serta berdepan pelbagai cabaran untuk kemajuan sesuatu kawasan demi memberi keselesaan dan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.  

"Pelantikan Ahli Majlis PBT adalah berpandukan peruntukan yang diberi kepada pihak berkuasa negeri di bawah Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 maka amanah dan tanggungjawab ini amat berat dan penting kerana tuan-tuan dan puan-puan merupakan pemimpin kepada masyarakat di kawasan masing masing.

"PBT juga perlu memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sebagai kerajaan ketiga dalam struktur pentadbiran kerajaan.  

"Ahli Majlis baharu perlu mengetahui matlamat PBT dan Dasar Kerajaan Negeri, melaksanakan tugas dengan kewajipan dan tugas, lengkapkan diri dengan ilmu, kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas, peka terhadap hal ehwal tempatan, prihatin kepada permasalahan masyarakat serta ambil tahu keadaan sekeliling dan global.

"Justeru, diharapkan tuan-tuan dan puan-puan memberi komitmen penuh kepada tugasan baharu ini membantu Presiden dan warga Majlis Perbandaran Tawau (MPT) melaksanakan agenda perancangan serta bekerjalah seperti 'aur dengan tebing' agar segala tanggungjawab dilunaskan lebih pantas dan efisien," katanya ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan penyerahan Watikah Perlantikan Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Tawau di Dewan Sri Tawau.

Menurut beliau, perlantikan itu bukan keistimewaan tetapi tanggungjawab untuk membantu rakyat memajukan bandar Tawau dan menyeru semua ahli majlis menjadi pemudahcara antara masyarakat dan pihak berkuasa serta berani melakukan transformasi demi memperkasa PBT sebagai institusi dinamik dan efisien.

"Pelantikan ini bukan peluang untuk kepentingan diri, rakan-rakan atau keluarga ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab penting untuk membantu penduduk di daerah Tawau.

"Tanggungjawab dan amanah semua ahli adalah berat dan sangat penting untuk masa depan daerah Tawau, Ahli-ahli Majlis perlu terus peka kepada keperluan dan kepentingan awam serta bertanggungjawab untuk menyumbang idea dan kepakaran dalam memaju dan meningkatkan mutu perkhidmatan Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

"Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan yang dilantik dapat memainkan peranan sebagai pemudahcara antara MPT dan masyarakat, mengangkat martabat PBT bertunjangkan komitmen yang berintegriti, dinamik dan prihatin serta menjadi saluran aduan dan memperoleh maklum balas daripada orang ramai," ujar beliau.  

Turut hadir Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan Timbalan Setiausaha Tetap KKTP, Stanley Chong Hon Chung.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama