Pegawai kerajaan disyaki terima rasuah projek rumah SMJ ditahan


KOTA KINABALU: Seorang pegawai daripada agensi kerajaan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki menerima rasuah bernilai kira-kira RM40,000.

Suspek disyaki menerima rasuah daripada beberapa kontraktor dan individu berkaitan dengan pelaksanaan projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menurut sumber, suspek yang dipercayai menerima sogokan tersebut sejak tahun 2022 sehingga 2025 itu ditahan kira-kira jam 2 petang, Khamis, setelah pegawai itu hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.

“Wang sogokan tersebut dipercayai sebagai balasan untuk memberi kelulusan atau keutamaan kepada pihak tertentu dalam projek pembinaan rumah tersebut,” katanya

Mahkamah Sesyen Sandakan membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman suspek selama enam hari, sehingga 1 Mei, seperti yang diputuskan oleh Hakim Zaini Fishir.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan bahawa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama