Pelajar tunggu keputusan SPM maut kemalangan

 ⁠Mangsa, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. Foto | Ihsan PDRM.

TAWAU : Pelajar tingkatan lima yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Batu 15 Jalan Apas, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa Muhammad Zikrull Abdullah, 17, yang menunggang motosikal jenis Honda C100 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari perumahan dekat Ranggu, di sini, menuju ke Semporna.

Manakala pemandu pikap jenis Toyota Hilux dipandu lelaki berumur 51 tahun dari ladang ternakan ayam di Quion Hill hendak ke Kg Kinabutan.

"Nahas berlaku apabila pemandu pikap keluar dari simpang Jalan Quion Hill lalu masuk ke lorong kanan untuk membuat pusingan ‘U’ telah dilanggar oleh penunggang motosikal yang berada di jalan lurus di bahagian tepi belakang sebelah kiri pacuan empat roda itu.

"Akibat kemalangan itu, mangsa telah di sahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian manakala pemandu pikap tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya menerusi kenyataan media di sini, malam ini.

Jasmin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian atau yang mempunyai maklumat supaya tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau atau mana-mana balai polis berhampiran.

















Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama