Keputusan itu dibuat Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin terhadap Muliandan Suniansah, 37, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh dan mensabitkannya mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan 2020).
Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa memandu bas sekolah di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine dan terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kematian remaja Pakistan, Ajmali Khan Bakht Zamin Shah,19, di Batu 3 Jalan Kalabakan-Tawau pada jam 1.30 tengah hari, 14 Oktober tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan juga denda maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh juga turut mengaku salah atas tiga lagi pertuduhan iaitu masing-masing mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987 (Akta 333/87); Seksyen 15(1)A dan Seksyen 90(1) Akta yang sama atas kesalahan memandu kenderaan tanpa lesen yang sah, tiada lesen kenderaan motor (LKM) dan tanpa perlindungan polisi Insuran.
Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan namun hukuman berjalan secara serentak dengan kesalahan Seksyen 44 (1) (a) yang berkuatkuasa dari tarikh sabitan hari ini.
Terdahulu Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee dalam hujahnya memohon hukuman berat dikenakan keatas tertuduh mengambil kira kesalahan serius dilakukan sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.
Katanya, tertuduh bukan sahaja memandu dibawah pengaruh dadah malah tidak mempunyai lesen selain bas sekolah tiada perlindungan polisi insuran serta tanpa LKM selama lapan tahun sejak 2017.
"Dalam Sijil Pemilikan Kenderaan menyatakan, kenderaan adalah untuk digunakan sebagai bas henti-henti (pengangtan awam) tetapi telah diubah suai menjadi bas sekolah untuk membawa bawa anak pekerja kilang.
"Sepatutnya bas tidak boleh berada di atas jalan raya dan tindakan untuk batalkan permit telah diambil," katanya.
Bagaiamanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana menanggung lima anak yang masih bersekolah manakala isteri pula tidak bekerja.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah memutuskan supaya tertuduh dipenjara 10 tahun dan juga denda RM50,000 serta mengarahkan tertuduh dikenakan penjara tambahan lapan bulan jika gagal membayarnya selain hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan lesen selama tempoh sepuluh tahun.
Sementara itu, dalam kes berasingan Majistret Dayang Aidaku Amira turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM20,000 terhadap pemandu lori yang menyebabkan kematian seorang pejalan kaki dalam kemalangan di kilometer 32 Jalan Tawau-Kunak, pada 26 September lalu.
Tertuduh, Muhammad Noor Fazli Mat Nasip, 23, mengaku salah memandu secara berbahaya tanpa mengambil perhatian terhadap segala hal termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta kesesakan lalu lintas yang boleh dijangka atau mungkin ada di jalan itu sehingga menyebabkan kematian seorang juruukur yang sedang menjalankan kerja mengukur Jalan di kawasan berkenaan.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara dua tahun sehingga 10 tahun serta denda minimum RM5,000 serta maksimum RM20,000.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama sembilan bulan jika gagal membayar denda itu dan kesalahan diendoskan dalam lesen memandu serta dikecualikan daripada memegang lesen selama tempoh lima tahun.