Pemandu lori ditahan bawa 248 karton arak tanpa cukai

 

Pemandu lori dan barang rampasan.


BELURAN: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas didapati membawa sebanyak 248 karton minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai di kawasan Telupid, pada Selasa.

Semua rampasan itu adalah hasil maklumat risikan yang diterima oleh Pasukan Polis Marin (PPM), sebelum operasi dijalankan di kawasan tersebut.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, tindakan pantas pasukan Unit Risikan Marin (URM) Markas PPM Wilayah 4 Sabah berjaya mematahkan aktiviti tersebut.

Katanya, pasukan URM Markas PPM Wilayah 4 Sabah telah menahan sebuah lori dipercayai menyimpan minuman keras tidak bercukai di kawasan Telupid.

“Hasil pemeriksaan lanjut, menemukan sebanyak 248 karton minuman keras pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM66,013.10 yang disimpan di dalam lori berkenaan.

“Pemandu lori terbabit telah ditahan kerana disyaki cuba seludup minuman keras tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Nazri berkata, semua barang kes telah dirampas dan suspek pula diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran.

“PPM Wilayah Empat Sabah mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dalam usaha membanteras kegiatan ini dari terus berleluasa.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama