![]() |
Foto ihsan Facebook Pejabat Penerangan Daerah Tawau. |
TAWAU: Pengumuman kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, baru-baru ini tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan negeri yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - PH Plus.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pendirian Pengerusi BN itu adalah hak mereka dan ia tidak mengugat kerjasama GRS-PH Plus.
Beliau enggan mengulas panjang, namun menegaskan bahawa fokus kerajaan negeri ketika ini adalah untuk mengekalkan kestabilan dan meneruskan agenda pembangunan rakyat.
“Saya tidak mahu komen secara panjang lebar, kerana itu adalah hak parti masing-masing untuk membuat keputusan politik mereka.
“Namun, apa yang penting, di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, kerajaan GRS-PH Plus telah meletakkan Sabah pada landasan yang betul, selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0,” katanya.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika ditemui dalam majlis kejohanan golf Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Pesara-Pesara Kerajaan Negeri Sabah Cawangan Semporna, semalam.
Menurutnya, prestasi positif kerajaan Sabah dapat dilihat melalui peningkatan hasil negeri saban tahun, serta pelbagai inisiatif untuk memperbaiki isu-isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.
“Perjuangan kita bukan sahaja untuk membina semula negeri ini, tetapi memastikan rakyat terus mendapat manfaat secara langsung.
“Kita mahu rakyat membuat pilihan yang tepat memandangkan Sabah memerlukan kerajaan yang stabil, kerana kestabilan itu kunci kepada kejayaan dan pembangunan berterusan.
“Saya yakin bahawa GRS-PH Plus akan terus mendapat kepercayaan rakyat Sabah untuk meneruskan kesinambungan pentadbiran yang stabil dan progresif,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memuji pendekatan inklusif dan mesra rakyat oleh pentadbiran negeri hari ini yang memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh, kebajikan rakyat serta keusahawanan termasuk untuk golongan pesara.
“Banyak bantuan yang disalurkan, dan kerajaan terus memberikan penghargaan kepada rakyat termasuk pesara melalui pelbagai insentif, malah penghargaan seperti anugerah dan pingat kebesaran,”katanya.
Menyentuh mengenai peranan pesara, Nizam menyeru agar mereka terus aktif menyumbang kepada masyarakat dan menjadi jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan.
“Kita mahu mereka terus jadi mata dan telinga kepada kerajaan, membantu menyampaikan maklumat yang sahih serta tidak mudah terpedaya dengan fitnah dan dakyah pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.