![]() |
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin. Foto | IPD Tawau. |
TAWAU : Seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Chong Thien Vun, petang kelmarin meninggal dunia di Hospital Tawau, di sini, setelah lebih 24 jam bertarung nyawa.
Mangsa Sudirman Malik, 28, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam tadi semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Taman Da Hua 6, di sini.
Manakala pemandu MPV jenis Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun pula dalam perjalanan dari Jalan Mawar menuju ke kuarters RTM di Jalan Chong Thein Vun.
"Apabila tiba di tempat kejadian pemandu MPV dikatakan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh tiang elektrik di atas pembahagi jalan sebelum bertembung motosikal ditunggang mangsa.
"Akibat kemalangan itu, mangsa yang parah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 malam tadi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Berikutan itu Jasmin berkata, pemandu MPV terbabit sudah ditahan kira-kira jam 10 malam tadi untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu kesalahan memandu secara melulu atau merbahaya sehingga menyebabkan kematian.
"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum lima tahun selain denda RM20,000 hingga RM50,000 dan lesen boleh digantung selama tempoh lima tahun bagi kesalahan pertama dan sepuluh tahun untuk kesalahan berikutnya," katanya.