![]() |
Kemalangan berlaku kira-kira pada jam 6 petang, semalam. |
TAWAU : Seorang lelaki cedera parah selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Chong Thien Vun, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian kira-kira jam 6 petang itu mangsa berumur 28 tahun dalam perjalanan dari tempat kerja ke rumahnya di Taman Da Hua 6, di sini.
Menurutnya, pemandu MPV jenis Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun pula dalam perjalanan dari Jalan Mawar menuju ke kuarters RTM di Jalan Chong Thein Vun.
"Apabila tiba di tempat kejadian pemandu MPV dikatakan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh tiang elektrik di atas pembahagi jalan dan merempuh motosikal ditunggang mangsa.
"Akibat kemalangan itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk," katanya dalam kenyataan di sini, lewat malam tadi.
Jasmin berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan manakala pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kemalangan itu diminta tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987 iaitu memandu tanpa kecermatan dan tidak bertimbang rasa yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM4,000 selain boleh penjara selama tempoh tidak melebihi 12 bulan serta lesen memandu boleh digantung atau dibatalkan," katanya.