![]() |
Ariffin ketika ditemui media selepas merasmikan majlis. |
KOTA KINABALU: Permohonan nikah secara atas talian atau E-Nikah akan diperkenalkan pada Jun depan.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd Arif berkata inisiatif yang diperkenalkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) itu sebagai pemudahcara dalam urusan hal ehwal perkahwinan.
“Seperti saranan YAB Ketua Menteri agar urusan yang dilaksanakan berhubung rapat dengan rakyat dan masyarakat perlu dilaksanakan secara digital bagi memudahkan proses permohonan termasuk dalam urusan keagamaan.
“Tahniah kepada JHEAINS kerana memperkenalkan inisiatif ini selain melaksanakan permohonan kad kahwin atau sijil nikah secara dalam talian sebelum ini.
“Diharapkan pada masa akan datang lebih banyak urusan dilakukan secara digital,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Kesejahteraan Belia Madani Mental, Fizikal dan Rohani Dan Kursus Perdana Pra Perkahwinan Islam di Wisma MUIS, hari ini.
Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada JHEAINS atas penganjuran program ini yang diadakan dengan skala yang besar.
“Saya juga meminta agar program sebegini dikembangkan di daerah-daerah lain bagi memberikan kesedaran kepada belia dan sesiapa yang ingin berumahtangga.
“Melalui program sebegini akan dapat memberikan kesedaran kepada belia dan yang ingin berkahwin agar lebih bersedia dengan ilmu pengetahuan dan amalan-amalan sebelum berumahtangga," jelas beliau.
Dianggarkan lebih kurang 500 peserta mengikuti seminar dan Kursus Pra Perkahwinan yang turut diserikan dengan kehadiran penceramah terkenal Ustaz Nabil Ahmad.
Antara yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah JHEAINS Datuk Jumain Abdul Ghani, Timbalan Pengarah JHEAINS (Hal Ehwal Agama Islam) Awang Juri Ag Tahir serta fasilitator yang mengendalikan kursus pra perkahwinan tersebut.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)