Perpaduan Kiulu: Hari Raya dan Paskah disambut bersama

Joniston (tengah), bergambar bersama penduduk-penduduk di Kampung Parad pada Majlis Hari Raya dan Paskah, semalam. 
 

KIULU: Umat Islam dan Kristian di Kampung Parad mencipta contoh perpaduan luar biasa dengan menganjurkan sambutan Hari Raya dan Paskah secara bersama, di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai memuji semangat kebersamaan penduduk kampung yang patut dijadikan teladan oleh komuniti lain.

"Kita wajar mempertimbangkan untuk menganjurkan acara seperti pesta komuniti atau keharmonian yang meraikan kepelbagaian agama, budaya, dan tradisi dalam satu perayaan besar yang meriah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya dan Paskah, semalam.

Menurut beliau, sambutan unik ini boleh dijadikan acara tahunan di peringkat DUN.

"Rakyat kita hidup dalam harmoni tanpa mengira agama, dan ini berpotensi menarik pelancong yang mencari pengalaman budaya sebenar," ujar beliau lagi.

Beliau menekankan bahawa pelancong masa kini tidak hanya mahukan keindahan alam semula jadi, tetapi juga ingin merasai budaya tempatan dan cara hidup masyarakat setempat.

"Di Kiulu, mereka bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam, tetapi juga menyaksikan bagaimana penduduk kampung saling membantu dan menghormati kepercayaan satu sama lain," tambahnya.

Joniston turut menegaskan bahawa memupuk generasi muda yang empati dan menghormati orang lain bermula dari persekitaran komuniti yang harmoni.

"Komuniti kami menunjukkan bahawa menolak ekstremisme dan hidup dengan aman adalah mungkin. Ini adalah sesuatu yang boleh kami kongsikan dengan dunia dengan bangga.

"Kiulu sudah menjadi destinasi luar bandar yang bukan sahaja menawarkan keindahan alam semula jadi tetapi juga menunjukkan bagaimana orang ramai boleh hidup bersama secara harmoni," tambahnya.

Beliau percaya mempromosikan gaya hidup ini boleh menjadi daya tarikan baharu untuk memperkukuhkan pelancongan luar bandar di kawasan itu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama