Peruntukan RM11.15 juta untuk Projek Landskap Hijau PBT Sabah tahun ini - Joachim

Isnin (empat dari kiri) menyampaikan geran projek Program Landskap 2025 kepada Pegawai Eksekutif Majlis Lahad Datu, Jackley Gielbert - ihsan KKTP Sabah.

PUTATAN: Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM11.15 juta bagi pelaksanaan pelbagai program dan projek landskap di seluruh Sabah bagi tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Katanya, peruntukan terbabit melibatkan dana daripada kerajaan Persekutuan dan negeri dan disamping bakal  diagihkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah.

Menurutnya, peruntukan terbabit disalurkan bagi tujuan pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur hijau demi kesejahteraan rakyat.

Mengulas lanjut, peruntukan itu selaras dengan inisiatif perancangan pembangunan landskap negeri Sabah yang menekankan kepentingan kelestarian, keindahan persekitaran serta keseimbangan ekologi dalam pembangunan bandar dan luar bandar.

"Saya memahami keperluan peruntukan bagi PBT dalam usaha membangunkan dan menaik taraf kemudahan infrastruktur hijau demi kesejahteraan masyarakat setempat. 

"Oleh yang demikian, seiring dengan inisiatif perancangan pembangunan landskap negeri Sabah, sebanyak RM11,150,000 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program dan projek landskap pada tahun 2025," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Khas Menteri sempena Program “I P.L.A.N.T.” di Taman Pasir Putih Fasa 1, di sini, hari ini. 

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih. 

Program “I P.L.A.N.T.” (Inisiatif Penghijauan Lestari, Aspirasi Negeri Taman Terindah) merupakan satu daripada langkah kementerian untuk memperkasa kelestarian landskap negeri Sabah melalui kolaborasi erat bersama PBT.

Dalam pada itu, Joachim berkata program terbabit bukan sekadar simbolik penanaman pokok, tetapi merupakan agenda strategik yang menyumbang kepada sasaran jangka panjang pembangunan mampan dan ekonomi hijau.

Setakat Disember 2024, sebanyak 331,151 pokok telah ditanam di bawah program ini, namun angka itu masih jauh dari sasaran 1.3 juta pokok menjelang tahun 2033, yang diumumkan sejak pelancarannya pada tahun 2020.

“Angka ini menunjukkan masih banyak lagi perlu dilakukan, dan saya menyeru semua PBT untuk terus mempergiatkan kempen penghijauan serta melaksanakan sendiri inisiatif penanaman pokok di kawasan masing-masing,” katanya.

Selain penanaman pokok, kementerian juga giat menganjurkan pelbagai program kesedaran dan pendidikan seperti Festival I-HIJAU KKTP, Bengkel Resolusi Hijau, serta jelajah bersama PBT ke pelbagai daerah untuk mempromosikan amalan hijau di peringkat akar umbi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama