![]() |
Minyak petrol bersubsidi yang cuba diseludup ke negara jiran. Foto | Ihsan PGA Kunak. |
KUNAK : Pasukan Gerakan Am Kompeni A, Batalion 22 PGA Kunak menggagalkan cubaan tiga lelaki warga Filipina menyeludup keluar 5450 liter minyak petrol bersubsidi menerusi Operasi Taring Esszone di kawasan perairan utara Pulau Omadal, Semporna, semalam.
Pegawai Memerintah Batalion 22 PGA Kunak, Superintenden Norman Chendan Philip Picha Rumpang berkata, suspek yang menggunakan sebuah bot laju dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan terbabit sebelum ditahan untuk tujuan pemeriksaan.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati tiga lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot telah membawa kepada rampasan 218 buah tong minyak petrol bersubsidi dengan setiap satunya berisi kira-kira 25 liter disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran," katanya menerusi kenyataan di sini.
Norman berkata, anggaran rampasan keseluruhaan bernilai lebih kurang RM111,000.
Katanya, tangkapan bersama barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.