Polis tahan 7 lelaki kerana merusuh, khianat

Sekumpulan tujuh lelaki ditahan kerana kesalahan merusuh dan khianat di hadapan sebuah Kafe dekat Jalan Haji Karim, awal pagi kelmarin. Foto | Ihsan PDRM.

TAWAU : Polis menahan tujuh lelaki  selepas dipercayai terlibat dalam kes merusuh dan khianat di hadapan sebuah kafe dekat Jalan Haji Karim,di sini, awal pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, semua individu yang berusia 20 hingga 46 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah diketuai Inspektor James Paran, menerusi tangkapan di beberapa lokasi berasingan sekitar daerah ini antara jam 2.50 pagi hingga 8 malam. 

Menurutnya, semua suspek membabitkan dua kumpulan itu dipercayai terlibat dalam pergaduhan kira-jam 5.46 pagi di kafe terbabit sehingga mengakibatkan pemiliki mengalami kerugian akibat kerosakan peralatan dan barangan di premis miliknya.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati tiga daripada suspek berkenaan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah manakala empat lagi tiada rekod jenayah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama tempat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tambahnya kes turut disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama