Polis tahan pekerja pusat cuci kereta curi dompet pelanggan

Suspek, remaja berumur 19 tahun yang bekerja di pusat cuci kereta ditahan polis jam 9 pagi semalam selepas disyaki mencuri dompet milik pelanggan. Foto | Ihsan PDRM.

Tawau: Tindakan nekad seorang pekerja pusat cuci kereta mencuri dompet pelanggan berisi barang kemas bernilai lebih RM10,000 membawa padah apabila dia diberkas polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 19 tahun itu ditahan kira-kira jam 9 pagi di kawasan pusat bandar Sabindo Plaza selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki sejumlah wang tunai serta dua telefon bimbit. 

"Soal siasat lanjut membawa kepada pengakuannya yang mencuri dompet pelanggan ketika bekerja di pusat cuci kereta dekat Jalan Apas, pada Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jasmin berkata, suspek adalah warga asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, antara barang dirampas dalam tangkapan itu ialah wang tunai pelbagai not keseluruhan berjumlah RM10,902.00, sebuah iPhone 13 Pro, sebuah telefon bimbit Itel A80 dan beg silang.

“Hasil semakan rekod bagaimanapun menunjukkan suspek tidak mempunyai kesalahan lampau namun siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti penglibatan suspek dalam kes lain,” katanya.

Justeru, orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak meninggalkan barangan berharga di dalam kenderaan atau tempat terbuka, termasuk ketika berada di premis perkhidmatan cuci kereta.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama