Pos Tambulanan: Pertahanan strategik baharu TDM memperkasa kedaulatan Sabah

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan menyempurnakan perasmian Pos Tambulanan di Tawau, semalam. Foto | Ihsan Sel Op Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.

TAWAU : Pos Tambulanan yang terletak di kawasan strategik di sini, bakal menjadi tunjang terbaharu pertahanan hadapan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam memperkasa kedaulatan wilayah Sabah. 

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkata pos terbabit berperanan sebagai zon penampan utama dan platform unjuran kuasa dalam pelaksanaan operasi keselamatan di kawasan timur Sabah.

Menurutnya, Pos Tambulanan dibangunkan seiring dengan Pos Ladang Brantian yang kedua-duanya dijadualkan siap sepenuhnya tahun ini. 

"Pembinaan ini merupakan lanjutan daripada kejayaan pembinaan Pos Felda Selatan di Kalabakan yang kini telah beroperasi sepenuhnya sejak dirasmikan pada Disember 2024.

"Kewujudan pos ini bukan sahaja mengukuhkan kehadiran TDM di kawasan hadapan, tetapi juga memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan tindak balas segera terhadap sebarang ancaman keselamatan," katanya ketika menyempurnakan majlis perasmian berkenaan di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata Pos Tambulanan menampilkan elemen teknologi tinggi termasuk sistem pengawasan bersepadu, komunikasi taktikal moden, platform dron pemantauan serta penggunaan tenaga solar autonomi sekaligus menjadikannya bukan sekadar kubu fizikal, tetapi pusat operasi yang canggih dan mampan.

Tambahnya, ia turut melengkapi rancangan jangka panjang TDM di Sabah termasuk pembinaan empat lagi pos keselamatan di Pulau Sebatik, dengan salah satunya di Sungai Kuning akan berfungsi sebagai Pangkalan Operasi Hadapan.

Majlis perasmian turut diserikan dengan acara penanaman pokok oleh PTD sebagai simbolik kepada komitmen jangka panjang TDM di kawasan tersebut serta penyampaian ‘Beg Raya’ kepada anggota pos sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan kepimpinan tertinggi.


2. Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, menyampaikan ‘Beg Raya’ kepada pegawai dan anggota pos Tambulanan Tawau. Foto | Sel Op Media, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama