![]() |
Masidi ketika ditemui pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC). |
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum memutuskan sebarang tarikh bagi menentukan perundingan mengenai pengagihan kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata walaupun terdapat beberapa perbincangan secara tidak formal telah diadakan namun belum ada mesyuarat rasmi dilaksanakan pihaknya disamping tarikh PRN17 belum diumumkan lagi.
"Perbincangan secara tidak formal memanglah (diadakan) dari masa ke semasa kita berjumpa. Tapi mesyuarat yang formal belum kita adakan. Kita tidak berasa tergesa-gesa untuk bincang berkenaan pengagihan kerusi.
"Saya yakin semua komponen parti dalam GRS ada kesepakatan yang kita telah bina selama ini dan ini akan memudahkan perundingan mengenai pengagihan kerusi apabila sampai masanya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan Sabah itu turut berkata pihaknya cenderung untuk menumpukan perhatian terhadap gerak kerja demi rakyat negeri ini.
"Saya telah minta pegawai-pegawai saya untuk memastikan bahawa peruntukan yang telah kita nyatakan dalam Belanjawan 2025 dapat diagihkan segera agar agensi, kementerian dan jabatan kerajaan dapat membelanjakannya," katanya.