PRN17: Tiada kerjasama, KDM kekal pendirian bergerak solo

Ketua Penerangan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Mohd Ari-Nadzrah Abd Rahman - ihsan KDM.

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menafikan pihaknya menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Ketua Penerangan KDM, Mohd Ari-Nadzrah Abd Rahman berkata pihaknya tetap kekal dengan keputusan sebelum ini untuk  bergerak solo pada PRN17 kelak.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan mana-mana program parti lain yang mengaitkan KDM adalah tidak benar termasuklah satu hantaran yang tular di laman media sosial, hari ini.

"KDM ingin tegaskan yang kita sudah membuat keputusan untuk bergerak solo pada PRN17 nanti dan keputusan itu kekal.

"Sebarang program diadakan oleh parti lain yang mengaitkan KDM adalah tidak betul dan di luar pengetahuan kami," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ia merupakan maklum balas bagi mengulas berhubung satu program yang tular di media sosial didakwa dianjurkan Parti Sedar Rakyat (SEDAR) bersama KDM.

Menurutnya lagi, hantaran tular terbabit adalah tidak benar dan berlangsung tanpa pengetahuan pihaknya.

"Ini juga mungkin bertujuan untuk mencemarkan reputasi KDM sebagai sebuah parti tempatan yang akan bersaing pada PRN17 nanti," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama