PRN17: UMNO-BN Sabah sahkan tidak tanding solo, akui tidak mampu menang bersendirian

Bung.

KOTA KINABALU: UMNO-BN Sabah mengesahkan tidak akan bertanding solo pada Pilihan Raya Umum Negeri ke-17 (PRN17) disamping bakal mengumumkan kerjasama dengan gabungan politik lain bila-bila masa sahaja.

Memetik sumber Free Malaysia Today, ketuanya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keputusan terbabit dibuat selepas mengambil kira keadaan politik semasa.

Mengulas lanjut, pihaknya mengakui parti yang bertanding solo tidak mampu memenangi PRN untuk menerajui pentadbiran negeri.

“UMNO-BN akan bertanding mengikut kemampuan dan keyakinan. Jadi, sampai masa kita akan putuskan dengan siapa kita bergabung. Sebab apabila bergerak solo kemampuan itu terhad.

“Parti yang bergerak solo tidak akan mencapai kemenangan besar malah keadaan itu bukan sahaja berlaku di Malaysia bahkan seluruh dunia. Parti politik akhirnya akan bergabung selepas pilihan raya bentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan BN akan bergerak solo selepas Parti Warisan (WARISAN) yang sebelum ini antara gabungan kemungkinan untuk parti itu bekerjasama memutuskan bertanding sendirian pada PRN Sabah dijangka tahun ini.

Sebelum ini, dilaporkan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak spekulasi kemungkinan membentuk pakatan pilihan raya dengan parti lain, sambil menegaskan parti yang diterajuinya adalah parti berbilang kaum mewakili semua rakyat Sabah.

Pada Mac tahun lalu, Shafie pernah mendakwa Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan bersetuju untuk bekerjasama bagi menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor.

Kehadiran Bung Moktar di perhimpunan agung WARISAN sebelum ini turut mencetuskan spekulasi mengenai pakatan rasmi antara UMNO Sabah dan WARISAN.

Walau bagaimanapun, UMNO Sabah pada bulan lalu menegaskan tiada sebarang perbincangan rasmi bersama WARISAN berhubung jalinan kerjasama dalam PRN kelak.

Sementara itu, mengulas kecenderungan bergabung selepas WARISAN tidak menunjukkan minat bekerjasama, Bung Moktar menjelaskan pihaknya terbuka berunding dengan mana-mana pihak selain parti yang pernah mengkhianati mereka.

“Kita membuka pintu juga…bukan terlalu luas, tapi masih ada perundingan dengan mana-mana parti,” katanya memaklumkan BN menyasarkan bertanding lebih 40 Dewan Undangan Negeri (DUN)

Pada PRN16 tahun 2020, BN menerusi UMNO menang 14 kerusi daripada 73 DUN.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama