RM24.8 bilion pelaburan direalisasikan di Sabah, 2,300 peluang kerja menanti anak tempatan

Phoong ketika ditemui media.

KOTA KINABALU – Lebih RM24.8 bilion pelaburan asing telah berjaya direalisasikan di Sabah, sekaligus *dijangka bakal mencipta* ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Menteri Pembangunan, Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, pelaburan berterusan itu mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap potensi ekonomi negeri ini.

Katanya, pembinaan fasa ketiga kilang Kibing di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) kini mencapai 70 peratus dan dijangka siap penghujung tahun ini.

“Kita telah menyaksikan pencapaian yang begitu memberangsangkan, di mana pelaburan asing lebih RM24.8 bilion telah berjaya direalisasikan setakat ini.

“Pembinaan line produksi ketiga kini mencapai 70 peratus dan dijangka siap pada hujung tahun ini. Sekali gus akan mewujudkan sehingga 2,300 peluang pekerjaan, termasuk tambahan 700 posisi untuk anak tempatan,” katanya.

Phoong berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Jamuan Aidilfitri bersama warga kerja Kilang Kibing Sdn. Bhd. di KKIP, hari ini.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, aspek peluang pekerjaan wajar diberi penekanan kerana ia merupakan antara punca utama kepada peningkatan pendapatan rakyat.

“Tumpuan kita bukan hanya melihat kepada harga barang semata-mata tetapi kepada penjanaan pendapatan rakyat. Peluang pekerjaan merupakan antara sumber utama yang dapat meningkatkan ekonomi isi rumah.

“Kita mengharapkan lebih banyak pelaburan asing datang ke Sabah dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan,” ujarnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama