Sabah berpotensi berdepan risiko bencana letupan gas, ambil iktibar kejadian Putra Heights - Masidi

Masidi ketika ditemui media.

KOTA KINABALU: Sabah berpotensi untuk berdepan risiko bencana letupan gas dan harus mengambil iktibar daripada kejadian letupan paip gas di Putra Heights, Selangor berikutan negeri ini juga memiliki sistem paip gas bagi menyalurkan bahan api terbabit.

Ia termasuk paip penghantaran gas asli sepanjang 500 kilometer yang menghubungkan Kimanis (Sabah) ke Bintulu (Sarawak).

Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi SMJ Energy Sdn Bhd, Datuk Seri Masidi Manjun berkata susulan itu, semua pihak berkaitan perlu mengambil peringatan bagi memantau sebarang kegiatan yang berpotensi mencetuskan bencana disamping perlu membuat penilaian semula tahap keselamatan penyaluran gas negeri ini.

"Itu (kejadian di Putra Heights) adalah satu peringatan. Malangnya, ia bukan peringatan yang menyedihkan tapi peringatan yang mengakibatkan kemusnahan harta benda. 

"Kalau kita lihat jumlah harta benda yang musnah, saya fikir ia harus memberi pengajaran kepada kita semua khususnya di tempat yang kita ada penyaluran gas ke rumah-rumah dan sebagainya. 

"Saya fikir semua pemegang taruh dan mereka yang terlibat dalam industri penyaluran gas ini khususnya untuk kegunaan domestik harus menilai semula tahap keselamatan penyaluran gas ini agar apa yang berlaku di Putra Heights itu tidak akan berlaku lagi. 

"Kita banyak menggunakan gas untuk tujuan industri. Ini juga sesuatu yang harus kita ingat berdasarkan apa yang berlaku di Putra Heights untuk memastikan keselamatan gas industri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya ketika ditemui dalam majlis sama berkata pihak berkaitan khususnya kontraktor yang terlibat dalam kerja pembinaan harus peka aspek keselamatan dikawasan berisiko tinggi.

"Kalau di Sabah, kita ada saluran gas yang menghubungkan Kimanis dengan Sarawak, ia merupakan kawasan berisiko tinggi. Apa juga aktiviti yang akan dilakukan berdekatan dengan kawasan atau melalui kawasan tersebut mesti mematuhi segala keperluan yang diperlukan," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama