![]() |
(Tengah) Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Datuk Matbali Musah dan (dua dari kanan) Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Ramle Kasin |
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Ramle Kasin, pencapaian itu banyak dipacu oleh kemahiran dan pengetahuan tinggi dalam kalangan petani serta pengusaha koko di negeri ini.
"Sabah adalah antara pengusaha koko yang terbesar di Malaysia melebihi 60 peratus daripada pengeluaran koko negara datang dari Sabah.
"Kebanyakan petani dan pengusaha di sini memang mempunyai pengetahuan serta kemahiran yang baik," katanya.
Jelas beliau, walaupun harga koko mengalami turun naik mengikut pasaran semasa, ia masih berada pada tahap yang menggalakkan, melebihi RM20 sekilogram bagi koko kering.
Tambah Ramle, LKM turut giat melaksanakan pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam usaha memastikan industri koko negara kekal berdaya saing dan mampan.
"Banyak R&D baharu seperti penghasilan bahan tanaman, baja yang sesuai dan juga penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) telah diperkenalkan bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa semakin banyak estet besar yang sebelum ini tidak lagi mengusahakan koko kini kembali melabur dalam sektor tersebut, ini perkembangan positif yang mampu melonjakkan semula industri koko di Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, Sabah bakal menjadi tuan rumah kepada Malaysian International Cocoa Fair (MICF) 2025 yang dijadual berlangsung pada 24 hingga 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.
Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Datuk Matbali Musah berkata, penganjuran MICF bukan sahaja bakal mengharumkan nama negara, malah membuka lebih banyak peluang pelaburan ke Sabah.
"Program ini akan mengharumkan negara kita dan kita bersyukur Sabah menjadi tuan rumah untuk menjayakannya.
"Penyertaan sangat meluas, termasuk dari beberapa negara Eropah, Jepun dan Asia,"katanya.
Difahamkan, ketika ini Sabah mempunyai lebih 3,000 petani koko yang aktif dengan kawasan tanaman utama tertumpu di Ranau, Tenom, Kota Marudu, Keningau dan Kuamut dengan keluasan melebihi 3,000 hektar.