Sabah komited pastikan sektor pembuatan main peranan penting, rangsang ekonomi negeri

Musa ketika menyampaikan teks ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Keenam Belas - ihsan Jabatan Penerangan Sabah.


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus komited memastikan sektor pembuatan terus memainkan peranan penting untuk merangsang ekonomi Sabah seiring dengan peningkatan aliran masuk pelaburan.

Yang di Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berkata elaburan yang berterusan dalam sektor ini bukan sahaja memberi impak positif kepada sektor pembuatan, malah membuka peluang untuk integrasi teknologi, memperkukuhkan infrastruktur serta mencipta peluang pekerjaan.

"Untuk itu, tumpuan akan diberikan bagi membangunkan lebih banyak aktiviti hiliran dalam industri-industri utama, termasuk biojisim, kelapa sawit, Perladangan Pokok Perindustrian (Industrial Tree Plantations) serta minyak dan gas.

"Dengan menggalakkan pengembangan sektor-sektor ini, Sabah juga berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan, sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih mampan.

"Pada tahun 2024, Sabah telah mencatatkan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM6.5 bilion, dengan 38.7 peratus daripadanya disumbangkan oleh sektor pembuatan.

"Angka ini jelas menunjukkan bahawa usaha kerajaan negeri untuk membangunkan sektor pembuatan berada di landasan yang tepat dan berjaya menarik lebih banyak perhatian pelabur ke negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan teks ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Keenam Belas, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya akan terus komited bagi memastikan pelaburan terus berkembang dapat dilihat melalui perancangan pembangunan tiga buah taman perindustrian baharu melibatkan daerah Kudat, Kota Belud dan Beaufort.

"Pembangunan ketiga-tiga taman perindustrian ini kelak dijangka akan membuka lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan untuk warga tempatan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Musa juga berkata kerajaan negeri telah merangka hala tuju strategik pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun sebagai persediaan ke arah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13)

"Tumpuan diberikan kepada bidang-bidang keutamaan yang menjadi tonggak pembangunan ekonomi negeri melalui pertumbuhan KDNK.

"Justeru, saya menggesa agar semua kementerian, jabatan dan agensi negeri mengambil langkah proaktif untuk merancang pembangunan yang selaras dengan hala tuju yang telah ditetapkan ini.

"Ia bagi memastikan keperluan sebenar negeri Sabah diberikan keutamaan," katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama