KOTA KINABALU – Sabah melakar sejarah dalam usaha pemuliharaan hidupan liar dengan pelancaran rasmi Captive Elephant Management Plan (CEMP) atau Pelan Pengurusan Gajah Dalam Kurungan hari ini sempena Simposium Pemuliharaan Gajah Borneo yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Pelan yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew Chim Jin berkata, pelan itu merupakan sebahagian daripada hasil utama Pelan Tindakan Gajah Borneo.
Pelan itu bertujuan memperkukuhkan pengurusan gajah yang berada dalam kurungan menerusi piawaian antarabangsa di pusat-pusat pemuliharaan seperti Pusat Perlindungan Gajah Borneo dan Taman Hidupan Liar Lok Kawi.
"Kita mahu fasiliti ini diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan antarabangsa dalam aspek penjagaan, pemulihan dan pendidikan pemuliharaan gajah," katanya dalam ucapan perasmian.
Menurut beliau, Sabah yang merupakan habitat kepada gajah Borneo spesies gajah terkecil di dunia yang kini berdepan ancaman serius akibat kehilangan habitat dan konflik dengan manusia.
Justeru, simposium ini disifatkan sebagai platform penting untuk membincangkan pendekatan baharu dan lestari, termasuk potensi ekopelancongan dan konservasi berasaskan komuniti sebagai alternatif penyelesaian konflik manusia dan gajah.
"Kita pernah menyaksikan bagaimana telur penyu yang dulunya dikutip kini menjadi sumber pelancongan melalui penetasan berpusat.
"Mampukah kita lakukan perkara yang sama untuk gajah?" tambahnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pentingnya penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang kegiatan pemburuan haram dan penggunaan jerat yang menjadi ancaman senyap kepada hidupan liar.
CEMP juga dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam menaik taraf kemudahan, latihan penjaga gajah, serta menjadikan pusat perlindungan sebagai destinasi pelancongan yang mendidik dan beretika.
"Kita harus menjadikan momen ini sebagai komitmen bersama bahawa gajah Borneo tidak akan kita biarkan pupus.
"Sebaliknya, kita harus melindungi, memulihara dan hidup bersama makhluk ini demi generasi akan datang," ujarnya.
Christina berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Pelancaran Rancangan Pengurusan Gajah dalam Kurungan di Sabah dan Simposium Pemuliharaan Gajah Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.
Simposium Pemuliharaan Gajah Borneo dijadualkan berlangsung selama tiga hari melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, NGO, penyelidik dan komuniti setempat.