KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah meluluskan Skim Insurans Berkelompok yang bakal memberi manfaat kepada lebih kurang 3.5 juta orang penduduk di negeri ini.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata perkara terbabit dipersetujui dalam mesyuarat kabinet negeri yang dilaksanakan, hari ini.
Menurutnya perlindungan insurans kemalangan tersebut adalah percuma kepada setiap penduduk yang layak disamping ia bakal dilaksanakan melalui syarikat milik kerajaan negeri Progressive Insurance Bhd.
"Lebih kurang 3.5 juta penduduk Sabah yang berumur antara satu bulan hingga 80 tahun secara automatik akan memperolehi insuran perlindungan diri secara percuma yang bernilai sehingga RM10,000, berserta faedah khairat kematian sebanyak RM500.
"Sebagai permulaan, skim perlindungan percuma ini adalah untuk tempoh tiga tahun mulai 1 Mei 2025 sehingga 30 April 2028.
"Melalui proses tuntutan insurans yang cekap, sebarang tuntutan bayaran disalurkan kepada penerima dalam masa 14 hingga 30 hari selepas dokumen lengkap dikemukakan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, Masidi turut berkata skim perlindungan insurans terbabit merupakan satu lagi usaha pihaknya dalam menjaga kebajikan rakyat.
"Di samping itu, ia juga mengurangkan beban kewangan rakyat khususnya mereka yang tergolong dalam kumpulan B40," katanya.