Sabah setanding 27 negara dunia dalam usaha Kelestarian Makanan, tanah

SIMBOLIK... Jin Zhe ketika perasmian Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Sabah sambil disaksikan Ruslan (kiri), Frederick (dua dari kiri), Kasim (dua dari kanan) dan Nizam (kanan).

KOTA KINABALU : Pelaksanaan Projek Food Systems, Land Use and Restoration (FOLUR) di Sabah meletakkan negeri ini sebaris dengan 27 negara lain dalam usaha global melestarikan sistem makanan dan penggunaan tanah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, menerusi kerjasama dengan United Nations Development Programme (UNDP) dan Global Environment Facility (GEF), projek tersebut melibatkan pengurusan landskap bersepadu merangkumi kira-kira 2.38 juta hektar di 12 daerah, dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 54,000 penduduk luar bandar.

“FOLUR menyokong pertanian lestari, khususnya dalam sektor kelapa sawit, di samping memulihara kawasan hutan terjejas serta menjamin sumber makanan dan pendapatan penduduk,” katanya semasa Majlis Pelancaran Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di perkarangan Fakulti Perhutanan Tropika, Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada Khamis.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoon Jin Zhe. 

Menurut beliau, projek ini bukan sahaja menyokong kelestarian pertanian, malah penting dalam agenda perubahan iklim kerana hutan berperanan menyerap karbon. 

"Kerajaan negeri juga sedang merangka Pelan Induk Hutan Negeri Sabah bagi tempoh 25 tahun, melindungi Kawasan Ekologi Sensitif (Ecological Sensitive Area) sambil merangsang pembangunan sosio-ekonomi dan mensejahterakan rakyat, sejajar hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0: 2021–2025). 

"Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC) yang ditubuhkan oleh kerajaan berperanan sebagai platform perundingan dan penyelarasan dasar iklim negeri, dengan beberapa inisiatif telah dilaksanakan termasuk penubuhan Unit Perubahan Iklim dan Gas Rumah Hijau (GHG) di Jabatan Perhutanan Sabah. 

"Melalui SCAC, Sabah memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam tadbir urus alam sekitar yang progresif dan berpaksikan kelestarian.

"Sabah berada pada landasan tepat sebagai peneraju tadbir urus alam sekitar yang progresif dan berpaksikan kelestarian,” tegas Hajiji sambil menambah kajian impak iklim 2024 akan menjadi asas kepada Dasar Perubahan Iklim Negeri. 

Hajiji memaklumkan Sabah kini dalam proses memuktamadkan dasar perubahan iklimnya, serta merangka Enakmen Perubahan Iklim Sabah selaras dengan undang-undang iklim nasional yang sedang dibangunkan.

"Selaras dengan pembangunan dasar ini, Sabah akan menggubal Enakmen Perubahan Iklim agar selari dengan pembangunan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN), yang kini sedang dimuktamadkan di peringkat nasional," jelasnya. 

Beliau turut menyentuh pindaan Enakmen Hutan yang akan memastikan aktiviti karbon berasaskan hutan (Forest Carbon Activity) dikawal selia dengan telus dan hasilnya dimanfaatkan terus oleh negeri. 

Katanya, segala aktiviti berkaitan perubahan iklim dan pasaran karbon mesti dilapor kepada SCAC bagi memastikan ketelusan serta membolehkan pemakluman kepada kerajaan negeri dan penyertaan yang saksama oleh Sabah. 

Hadir sama, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Ketua Konservator Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Frederick Kugan, Naib Canselor UMS Datuk Dr. Kasim Mansor serta Pengerusi Jawala Plantation Industries Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Majid Khan.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama