![]() |
Jahid sewaktu ditemui wartawan selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) di dewan Tun Hamdan Tamparuli, hari ini |
TAMPARULI – Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Nordin Jahim menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam penganugerahan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) supaya lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada individu luar yang menawarkan pelbagai janji.
Beliau berkata, situasi di mana ramai menunjukkan minat terhadap program tersebut turut membuka ruang kepada segelintir pihak mengambil kesempatan untuk menipu demi kepentingan peribadi.
"Saya telah menasihatkan ahli-ahli yang terlibat agar berhati-hati. Jangan terlalu percaya kepada orang luar. Ramai yang ambil peluang apabila melihat ramai berminat," katanya.
Tegas beliau, semua pihak perlu mengelak daripada berurusan dengan individu yang meragukan untuk menjaga integriti dan matlamat asal program tersebut.
"Kalau ada unsur sebegini, jangan dekati sama sekali. Kita juga terkejut kerana ada yang mengambil kesempatan pada peringkat awal apabila wujud rasa minat terhadap program ini," tambah beliau.
Jahid berkata demikian ketika mengulas penahanan seorang pegawai kerajaan yang didakwa terlibat dalam salah guna kuasa berkaitan projek Rumah Mesra SMJ di Sandakan baru-baru ini ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Undangan Tun Hamdan, Tamparuli, pada Sabtu.