![]() |
Ghulam (kiri) dan Armizan (tiga dari kiri) mengiringi Hajiji (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima. |
PAPAR: Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen (MP) Papar Datuk Armizan Mohd Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar hari ini dimeriahkan kira-kira 18,000 tetamu.
Seawal jam 9 pagi, ribuan tetamu mula memenuhi khemah di luar dewan di samping 162 gerai penyedia makanan dengan pelbagai juadah Hari Raya termasuk produk Papar seperti kelupis, tapai nasi, sambal belacan Papar, kuih cincin dan sebagainya.
Sambil menikmati hidangan, para tetamu dihiburkan dengan rangkaian lagu-lagu Hari Raya oleh Masmona Band sambil menunggu rezeki masing-masing untuk memenangi hadiah-hadiah menarik dalam acara cabutan tiket bertuah.
Majlis diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta isteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag yang menyampaikan sumbangan duit raya kepada 50 orang asnaf diiringi Armizan serta isteri, Datin Dr. Rafidah @ Marlissa Salleh, Ghulam Haidar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong,
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KPDN Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar, Pegawai Daerah Muhammad Mohd Ali, Setiausaha Sulit Kepada Menteri KPDN Datuk Roslie Ibrahim dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.28 Kawang Fahzean Mohiddin.
Majlis bertambah seri apabila Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman serta isteri, Toh Puan Faridah Tussin yang tiba kira-kira jam 11.30 pagi turut menyantuni 50 lagi asnaf di dalam Dewan SMK Pengalat, sebelum menikmati jamuan Hari Raya.
Semasa jamuan, kemunculan artis jemputan, Liza Hanim, 46, dengan lagu "Tibanya Syawal Bahagia" diikuti dua lagu yang telah menaikkan namanya di persada seni tanah air, "Getaran Cinta di Jiwa" dan "Gelisah Mimpi" nyata memukau seluruh tetamu dengan kemantapan vokalnya.
Menghangatkan suasana, pentas hiburan mula bergemuruh apabila sosok yang mendapat jolokan "DJ Dave Papar" iaitu Ghulam Haidar mendendangkan lagu "Jomo Bioso", "Cintaku 100%" dan "Yank". Bahkan, persembahan beliau dalam setiap majlis bagaikan persembahan yang sangat ditunggu-tunggu oleh para peminatnya.
Paling penting, kemeriahan Hari Raya Aidilfitri ini bukan sahaja dirai umat Islam malah dikongsi bersama seluruh lapisan masyarakat pelbagai kaum dan agama sekali gus menyuburkan perpaduan Malaysia Madani di negeri ini.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)