SMJ Energy catat keuntungan RM362 juta tahun lalu, melonjak 40 peratus



KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM362 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, meningkat 40 peratus daripada RM259 juta pada tahun sebelumnya, meskipun berhadapan dengan pasaran tenaga global yang tidak menentu.

Prestasi cemerlang ini didorong oleh beberapa faktor utama seperti pengoptimuman aset strategik, pengurusan kos yang berdisiplin, dan pertumbuhan hasil yang kukuh.

Menurut Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi SMJ Energy,  kejayaan tersebut adalah hasil dedikasi dan usaha keras pasukan profesional syarikat yang bekerja rapat dengan pihak berkepentingan utama, termasuk Petronas.

SMJ Energy memiliki portfolio yang seimbang merangkumi sektor Upstream, LNG, Petrokimia (Petchem), serta FPSO/FSO. Portfolio yang pelbagai ini memberikan kestabilan kewangan kepada syarikat dan memastikan ia kekal kukuh walaupun berdepan dengan situasi harga minyak yang rendah.

Walau bagaimanapun, Datuk Seri Masidi turut memberi peringatan agar syarikat sentiasa berwaspada terhadap perubahan luar yang boleh menjejaskan prestasi. Beliau merujuk kepada ketidaktentuan pasaran global seperti perang tarif yang berterusan dan turun naik harga minyak sebagai cabaran utama yang perlu dihadapi dengan penuh berhati-hati.

"Ketidaktentuan dalam pasaran minyak global menekankan betapa pentingnya kita mengekalkan pengurusan risiko yang proaktif dan strategi pelaburan yang berhati- hati," katanya dalam satu kenyataan.

SMJ Energy mencatat lonjakan hasil ketara melalui sumbangan daripada beberapa aset utama termasuk Samarang Production Sharing Contract (PSC), loji pencairan LNG Train 9, Petronas Chemical Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PCFSSB), serta Floating Production & Storage (FPSO) dan Floating Storage Operation (FSO) daripada Sabah International Petroleum (SIP), yang bebas daripada hutang.

Selain itu, SMJ Energy turut menumpukan perhatian kepada pembangunan sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di Sabah. Syarikat berkomitmen untuk meningkatkan kandungan tempatan dalam sektor ini tanpa mengabaikan aspek kos, keselamatan, kualiti, dan jadual kerja. Pada tahun lalu sahaja, SMJ Energy telah memperuntukkan kerja bernilai RM2 bilion kepada syarikat-syarikat Sabah, berbanding hanya RM613 juta pada tahun 2021.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama