![]() |
Rahman (lima kiri) menyampaikan cenderamata kepada Tun Musa. |
KOTA KINABALU: Syarikat tenaga terbesar Jepun, Japanese Energy New Era (JERA) berminat meneroka peluang pelaburan bersama Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) khususnya dalam pembangunan infrastruktur strategik di Sabah.
Pengerusi SOGDC Datuk Seri Panglima Abdul Rahman DahlaN berkata, perbincangan teknikal telah diadakan bersama JERA serta beberapa pelabur antarabangsa lain yang hadir ke pejabat SOGDC, baru-baru ini.
“Mereka melihat Sabah sebagai lokasi yang sangat strategik dalam sektor minyak dan gas serta rantaian bekalan (supply chain) ke pasaran utama seperti Jepun, Taiwan, Korea dan China.
“Faktor geografi menjadikan Sabah lebih hampir kepada pasaran ini berbanding Singapura, di samping menawarkan kos operasi yang lebih kompetitif serta tenaga kerja tempatan yang bersedia,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, pada Isnin.
Kunjungan itu bertujuan memaklumkan Tun Musa tentang perkembangan SOGDC selepas 15 tahun penubuhannya, termasuk kemajuan terkini berkaitan pelaburan dan pembangunan syarikat milik penuh kerajaan negeri Sabah tersebut.
Tambah Rahman, bagi memastikan kesinambungan rundingan bersama JERA dan rakan pelabur lain, SOGDC akan menganjurkan sesi mesyuarat secara berkala melalui platform dalam talian memandangkan kebanyakan pihak terlibat berpangkalan di luar negara.
“Kita mencadangkan sesi touch base mingguan selama setengah atau satu jam melalui Zoom bagi memastikan kelancaran koordinasi teknikal serta pelaksanaan projek,” katanya.
Menurut beliau, JERA teruja dengan potensi Sabah dan SOGDC optimis kerjasama itu akan membuka lebih banyak pintu pelaburan berkualiti tinggi ke Sabah sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri secara mampan dan berdaya saing.