![]() |
Arsit (tengah) sewaktu ditemui media di Majlis Rumah Terbuka di Kampung Tengah Padang, Petagas pada Sabtu. |
KOTA KINABALU: Pengenaan tarif import oleh Amerika Syarikat ke atas barangan dari Malaysia dijangka memberi kesan negatif kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat, kata Pengerusi Permodalan Capital Berhad, Dato’ Seri Arsit Sedi @ Sidik.
Menurut beliau, dalam mana-mana negara, sebarang tindakan mengenakan tarif akan membawa impak kepada kestabilan ekonomi kerana harga pasaran ditentukan oleh pemain industri.
"Bagi pandangan saya, apabila tarif dikuatkuasakan pada satu-satu negara, ia akan menjejaskan ekonomi kuasa berkenaan. Dalam urusan ini, harga akan ditentukan oleh ‘player’, iaitu mereka-mereka yang menentukan harga dan kesannya akan ditanggung oleh rakyat," katanya ketika diminta mengulas mengenai keputusan terbaharu pentadbiran Presiden Donald Trump.
Arsit turut menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh selamanya bergantung kepada pemberian subsidi sebagai penyelesaian.
"Tarif yang dikenakan oleh Amerika amat-amat menjejaskan ekonomi sesebuah negara kerana kita kena bertanggungjawab kepada rakyat, kecuali kerajaan boleh beri subsidi. Tapi takkan kerajaan boleh beri subsidi sepanjang zaman," ujarnya.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemui media di Majlis Rumah Terbuka di Kampung Tengah Padang, Petagas pada Sabtu.
![]() |
Isquzawan (dua dari kanan) sewaktu ditemui media di Majlis Rumah Terbuka di Kampung Tengah Padang, Petagas pada Sabtu. |
"Kita faham Presiden Amerika ini kadang-kadang mengambil langkah untuk mengubah keputusan. Kita ambil kira dahulu macam dia kenakan tarif kepada negara Kanada dan kemudian menarik balik keputusan tersebut," katanya.
Tambahnya, masyarakat juga perlu bijak membuat pilihan dalam perbelanjaan seharian.
"Kita memandang serius perkara ini dan berharap keputusan itu dapat diubah. Tetapi sekiranya tidak, saya nasihatkan masyarakat supaya bijak berbelanja, beli barangan yang memberikan nilai lebih baik berbanding produk import dari Amerika sendiri," katanya lagi.
Pada tahun 2024, jumlah import Malaysia meningkat sebanyak 13.2% berbanding tahun sebelumnya, dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.371 trilion.
Peningkatan ini menggambarkan permintaan domestik yang tinggi serta pertumbuhan kukuh sektor ekonomi negara.
Namun, langkah tarif terbaru oleh Amerika dijangka memberi tekanan kepada pola import dan harga barangan tempatan.