![]() |
Nizam (tengah) menerima surat jemputan untuk merasmikan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri daripada Jennitah semasa kunjungan hormat terbabit. |
KOTA KINABALU: Daerah Tawau dipilih sebagai tuan rumah Festival Bahasa dan Sastera (BAHTERA) Peringkat Negeri Sabah yang dijadualkan bakal diadakan pada 23 dan 24 Julai ini bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Yuk Chin.
BAHTERA akan dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)Sabah, Jennitah Noordin berkata, BAHTERA merupakan program yang julung kali dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Tawau dan beberapa agensi di sekitar daerah terbabit.
“Festival ini menjadi wadah bagi pencinta bahasa, sastera, pelajar dan masyarakat umum untuk mengenali serta mendalami keunikan bahasa dan karya sastera yang menjadi warisan bangsa”, katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Nizam di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.
Menurutnya, festival itu bertujuan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai medium komunikasi utama serta memperkayakan apresiasi terhadap pelbagai bentuk karya sastera, termasuk puisi, cerpen, novel dan drama.
Katanya, BAHTERA bukan sahaja menjadi platform untuk mempromosikan karya sastera tempatan, tetapi juga menggalakkan dialog antara budaya serta mengukuhkan jati diri bangsa melalui penghayatan bahasa dan seni.
Antara pengisian sepanjang festival itu ialah aktiviti Jom, Baca dan Warnai, Majalah Dalam Kelas, Pertandingan Forum Remaja 2025 Peringkat Negeri Sabah dan Pesta Buku Tawau.
Sementara itu, Nizam mengalu-alukan pemilihan Tawau sebagai tuan rumah BAHTERA disamping menegaskan sekolah di Tawau sering muncul sebagai johan Pertandingan Forum Remaja sama ada di peringkat negeri mahupun ebangsaan.
“Dengan adanya festival ini diharap generasi muda akan lebih menghargai bahasa dan sastera, sekali gus memastikan kelestarian warisan budaya dalam arus kemodenan.
“BAHTERA juga memberikan ruang kepada masyarakat untuk mengenali, memahami dan menghargai keindahan serta kepentingan karya sastera tempatan dan kebangsaan”, katanya.
Menurut Nizam, sempena festival itu, beliau juga akan mewakaf buku untuk lapan buah sekolah menengah dan sekolah rendah dalam kawasan DUN Apas.