![]() |
Nizam. |
KOTA KINABALU: Tiada sebarang unsur campur tangan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkaitan siasatan sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, SPRM mengesahkan Ketua Menteri dipanggil sebanyak dua kali sekali gus beliau memberikan kerjasama sepenuhnya.
Katanya, setakat ini SPRM sudah memanggil semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikaitkan untuk memperlihatkan video dikaitkan dengan mereka.
“Langkah ini bagi membolehkan SPRM mendapatkan penjelasan secara terus daripada mereka yang terlibat dalam video yang ditularkan berkenaan.
“Hasil analisis forensik terhadap lapan video awal mendapati terdapat unsur suntingan dan manipulasi, menyebabkan ia tidak layak dijadikan bahan bukti di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan dibangkitkan ADUN Elopura Calvin Chong berkaitan siasatan SPRM terhadap beberapa ADUN Sabah yang dikaitkan dengan isu pelesenan mineral.
Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, video terbaharu diperoleh SPRM didapati terlalu panjang sekali gus kini sedang dianalisis secara lebih teliti.
“Sebagai kerajaan menjunjung prinsip integriti serta tadbir urus baik, kami tidak akan melindungi sesiapa jika terbukti bersalah.
“Namun pada masa sama, kami juga tidak akan tunduk kepada tekanan politik atau spekulasi tidak berasas dimanipulasi oleh pihak pembangkang,” katanya
Menurutnya, segala siasatan dijalankan adalah merupakan tanggungjawab SPRM iaitu sebuah badan bebas yang diberikan kuasa oleh undang-undang di negara ini.
“Biarlah mereka diberikan ruang secukupnya agar dapat menyempurnakan segala siasatan tanpa ada sebarang gangguan.
“Kita menyeru semua pihak untuk lebih bertanggungjawab dalam mengulas isu ini serta tidak menjadikan siasatan yang masih berjalan sebagai bahan politik,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sabah berhak untuk mendapatkan kepimpinan yang berani, dalam masa sama adil dan berprinsip.