Tiga mangsa terperangkap banjir dipindahkan di PPS

 

Pihak bomba sedang melakukan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

KINABATANGAN: Dua keluarga terpaksa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas terperangkap di rumah mereka akibat banjir di Kampung Pengkalan Bukit Garam, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata maklumat diterima menerusi panggilan talian balai pada jam 8.51 pagi.

Katanya, sepasukan lima anggota diketuai PBKI Yus Pg Pinsin digerakkan ke lokasi yang terletak 11 kilometer dari BBP Kinabatangan untuk menjalankan operasi menyelamat.


“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati terdapat dua buah rumah telah dinaiki air dan segera menjalankan tugas memindahkan tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak.

“Ketiga-tiga mangsa terbabit berjaya dipindahkan ke PPS menggunakan jentera bot bomba,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Nurul Azlan Shah berkata pihaknya terus menjalankan pemantauan di lokasi berkenaan dan sekitarnya selepas memindahkan semua mangsa terbabit.

“Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud di lokasi, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 11.05 pagi,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama