Wakil rakyat keluarkan surat sokongan adalah kebiasaan, tidak menyalahi undang-undang - Azis

Azis.

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Warisan (WARISAN), Datuk Azis Jamman mendakwa surat sokongan yang dikeluarkan wakil rakyat tidak menyalahi undang-undang disamping ia merupakan satu kebiasaan dalam pentadbiran serta demokrasi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu berkaitan surat sokongan permohonan MyKAS seorang individu dari Semporna yang didakwa telah diluluskan oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Hantaran yang tular di laman media sosial itu telah menimbulkan reaksi dari pelbagai pihak.

"Sokongan yang dikeluarkan oleh wakil rakyat itu perkara biasa dalam sistem pentadbiran dan sistem demokrasi malaysia dan tidak menyalahi undang-undang.

"Walaubagaimanapun, sokongan itu hanya sekadar sokongan namun keputusan akhir tetap tertakluk kepada peraturan dan undang-undang, syarat dan kelayakan yang mana dalam konteks MyKAS itu adalah bidang kuasa JPN yakni agensi kerajaan Persekutuan.

"Ketua Menteri tidak punya kuasa dan kawalan ke atas agensi JPN," katanya dalam satu hantaran komen di laman media sosial Facebook rasminya.

Semalam, media melaporkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan tidak meluluskan sebarang permohonan mengenai dokumen pengenalan diri secara sewenang-wenangnya, walaupun disertakan dengan surat sokongan daripada mana-mana pihak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pihaknya menegaskan bahawa setiap permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri sama ada MyKAS, MyPR dan MyKAD adalah tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang, peraturan dan dasar yang berkuat-kuasa.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama