Wanita sempat curi rantai emas ketika beraya ditahan polis

 

TAWAU: Tindakan seorang wanita mencuri seutas rantai emas ketika datang berkunjung berhari raya di Taman Pasadena, Batu 2, Jalan Datuk Chong Thien Vun, di sini, menerima padah apabila ditahan polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki iaitu tuan rumah berkenaan.

Rantai emas yang disyaki milik mangsa.

Katanya, kejadian itu disedari selepas mendapati rantai emas milik isteri pengadu hilang selepas suspek bersama rakannya beredar dari rumahnya pada jam 3.45 petang. 

“Susulan itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau terus menjalankan operasi mengesan suspek.

“Suspek seorang wanita berusia 26 tahun itu berjaya di tahan di sebuah rumah di Batu 4, disyaki terbabit dengan kes curi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Menurutnya, pasukan operasi turut merampas seutas rantai emas disyaki milik mangsa yang dicuri oleh suspek terbabit.

“Suspek beserta barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan. 

“Sekiranya sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan dikenakan denda,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama