Warga emas cedera dilanggar ketika melintas

Mangsa terbaring selepas dilanggar sebuah kereta e-hailing di Jalan Dunlop, di sini, pagi tadi. Foto | Ihsan PDRM.

TAWAU : Seorang wanita warga emas cedera di bahagian kepala selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Dunlop, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, mangsa berusia 68 tahun dipercayai melintas dari arah kiri ke kanan jalan sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 41 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu e-hailing terbabit sedang dalam perjalanan dari Batu 2, Jalan Apas menuju ke pusat bandar.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa secara tiba-tiba melintas jalan menyebabkan pemandu yang berada di lorong kiri tidak sempat membrek kerana jarak terlalu dekat sebelum terlanggar mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini menerima rawatan di Hospital Tawau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, kereta terbabit turut mengalami kerosakan di bahagian bampar hadapan, bonet dan cermin depan yang pecah.

Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya pejalan kaki, supaya sentiasa menggunakan lintasan khas ketika melintas jalan terutamanya di kawasan sibuk seperti di pusat bandar.

“Melintas di tempat yang tidak dibenarkan bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengundang risiko kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama