Warga emas ugut bunuh melalui WhatsApp ditahan


Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin.

TAWAU : Gara-gara menghantar mesej ugutan bunuh melalui aplikasi WhatsApp, seorang lelaki warga emas dicekup polis dalam serbuan di Taman Semarak, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 65 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang, susulan laporan polis yang dibuat pengadu, seorang pesara berusia 67 tahun.

“Hasil siasatan mendapati suspek menghantar mesej berunsur ugutan serius, termasuk ancaman untuk mencederakan dan membunuh pengadu

“Suspek bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau selain tiada rampasan atau kerugian harta dilaporkan,” katanya.

Jasmin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah menggunakan komunikasi bertulis.

Dalam pada itu, Jasmin menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan aplikasi komunikasi untuk menyebarkan ancaman atau melakukan kesalahan jenayah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama