KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) membangunkan teknologi rawatan air sisa akuakultur berasaskan mikroalga bagi menyokong kelestarian industri melalui penggunaan semula nutrien dan sumber buangan, sekali gus meningkatkan kecekapan pengeluaran serta mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Penyelidikan yang diterajui Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS dengan kerjasama Jiangxi Academy of Agricultural Sciences (JxAAS), China itu menerima pembiayaan kira-kira RM470,000 di bawah Program Kerjasama Sains dan Teknologi Antarabangsa Wilayah Jiangxi dan akan dilaksanakan sehingga November 2028.
Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi UMS, Profesor Dr. Jualang Azlan Gansau berkata, projek berkenaan memfokuskan kepada pembangunan teknologi mikroalga yang mampu merawat air sisa akuakultur, selain memanfaatkan semula nutrien dalam sisa buangan bagi menyokong sistem pengeluaran yang lebih cekap, menjimatkan sumber dan mesra alam.
“Kerjasama ini bukan sahaja membuka ruang kepada pembangunan penyelesaian bioteknologi yang inovatif, malah berpotensi menyumbang kepada pembangunan industri akuakultur yang lebih mampan,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama itu turut memperkukuh perkongsian kepakaran antara penyelidik Malaysia dan China, selain menyokong pembangunan modal insan serta penghasilan teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh industri akuakultur di Malaysia dan rantau ini.
Sepanjang lawatan itu, delegasi terbabit mengikuti aktiviti pensampelan dan pengasingan mikroalga bersama penyelidik UMS, selain menghadiri beberapa sesi perbincangan teknikal berkaitan pembangunan teknologi dan pelaksanaan penyelidikan.
“Bagi memperluaskan manfaat penyelidikan kepada industri, delegasi turut mengadakan lawatan ke Perbadanan Pembangunan Perikanan dan Nelayan Sabah (KO-NELAYAN) bagi meneroka potensi pemindahan teknologi, pengkomersialan hasil penyelidikan serta aplikasi inovasi dalam sektor akuakultur negara,” ujarnya.
Delegasi itu turut melawat Akuarium dan Muzium Marin UMS, makmal penyelidikan IPB serta kemudahan penetasan Institut Marin Borneo (IMB) bagi meninjau kemudahan penyelidikan yang menyokong pelaksanaan projek.
Kerjasama tersebut mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam menerajui penyelidikan berasaskan sains dan inovasi untuk menghasilkan penyelesaian teknologi hijau yang mampu memperkukuh daya tahan serta kelestarian industri akuakultur di Sabah dan negara ini.
Delegasi JxAAS yang diketuai Pengarah Institut Keselamatan dan Piawaian Penyelidikan Produk Pertanian, Profesor Dr. Siming Li bersama dua penyelidik kanan mengadakan lawatan kerja selama empat hari ke UMS bermula tujuh hingga 10 Julai bagi memperincikan pelaksanaan projek penyelidikan berkenaan.