KOTA KINABALU: Seramai 924 graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Zon Sabah menerima skrol masing-masing pada Istiadat Konvokesyen ILKKM 2026 Zon Sabah di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Sabtu.
Graduan terbabit dilihat menjadi antara taruhan penting Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu menangani isu kekurangan tenaga kerja, khususnya dalam bidang kejururawatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 10,557 kekosongan direkodkan bagi jawatan Jururawat Gred U5 daripada keseluruhan 73,281 perjawatan di fasiliti kesihatan ketika ini.
Menurutnya, KKM melaksanakan tiga strategi utama reformasi tenaga kerja kesihatan negara, termasuk meningkatkan pengeluaran graduan, memperluaskan laluan kerjaya serta melaksanakan pengambilan secara terus dan autonomi.
“Dalam langkah yang dijangka memberi nafas baharu kepada graduan kejururawatan, KKM dimaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan pengecualian Lantikan Kontrak Interim.
“Ini bermakna semua graduan Diploma Kejururawatan ILKKM yang lulus dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia akan diserap terus ke dalam jawatan tetap,” katanya ketika berucap pada istiadat konvokesyen berkenaan, hari ini.

Dzulkefly berkata, KKM turut diberikan kuasa autonomi untuk menguruskan perjawatan bermula 9 Julai 2026, sekali gus membantu mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan penempatan graduan ke fasiliti kesihatan yang memerlukan.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan tenaga baharu dapat digerakkan segera untuk memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan di lapangan.
“Dalam usaha memperkukuh kompetensi petugas sedia ada pula, sebanyak 15 Program On-The-Job Training (OJT) akan dimulakan pada September 2026.
“Program ini membolehkan petugas meningkatkan kepakaran tanpa perlu meninggalkan tempat bertugas untuk tempoh yang lama,” katanya.
Pada masa sama, laluan kerjaya Jururawat Masyarakat akan diperluaskan menerusi pelaksanaan Diploma Peralihan, sekali gus memberi peluang kepada mereka mengembangkan kerjaya dalam bidang kejururawatan.
Bagi edisi konvokesyen tahun ini, dua anugerah baharu turut diperkenalkan iaitu Anugerah Khas Penyelidik Terbaik dan Anugerah Khas Kepimpinan Terbaik.
Menurut Dzulkefly, pengenalan kedua-dua anugerah itu mencerminkan usaha KKM menghargai kecemerlangan graduan bukan sahaja dari aspek akademik, malah merangkumi bidang penyelidikan, sahsiah, daya fikir dan kepimpinan.
Beliau turut menyeru semua graduan supaya terus menjaga maruah profesion serta melaksanakan amanah dengan penuh ihsan apabila memulakan tugas kelak.
“Dengan jumlah kekosongan tenaga kejururawatan yang masih besar, graduan baharu ILKKM bukan sekadar diraikan di pentas konvokesyen, sebaliknya bakal menjadi antara barisan penting yang mengisi keperluan tenaga manusia dalam sistem kesihatan negara,” katanya.