KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas jaringan akademik antarabangsa menerusi kunjungan Universitas Alwashliyah Medan (UNIVA Medan), Indonesia, bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang akademik, mobiliti pelajar dan pensyarah serta pengabdian kepada masyarakat.
Kunjungan delegasi UNIVA Medan yang diketuai Rektornya, Prof. Dr. Saiful Akhyar Lubis, M.A. itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif, Bangunan Canselori UMS, baru-baru ini.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, hubungan akademik dengan institusi dari Indonesia, khususnya UNIVA Medan, membuka ruang kepada UMS untuk memperkukuh peranannya sebagai pusat ilmu dan pemikiran serantau.
Menurutnya, sebagai The Brain of Borneo, UMS bukan sahaja berperanan menjana ilmu dan penyelidikan untuk Sabah, malah berkongsi kepakaran serta membina jaringan dengan institusi pendidikan tinggi di rantau ini.
“Kerjasama dengan UNIVA Medan boleh menjadi platform untuk kita mengembangkan pertukaran ilmu, pengalaman akademik dan penglibatan masyarakat yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi,” katanya.
Turut hadir Dekan Fakulti Pengajian Islam, Profesor Dr. Muhamad Suhaimi Taat; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Mohd Nur Hidayat Hasbollah Hajimin serta pegawai UMS, selain Ketua Penerangan PERKIS Hajimin H. Maslin bersama barisan kepimpinan dan ahli jawatankuasanya.
Beliau berkata, kedudukan UMS di Borneo dan UNIVA Medan di Sumatera turut memberi peluang kepada kedua-dua universiti berkongsi perspektif serta pengalaman berkaitan pendidikan, pembangunan masyarakat dan penyelidikan berteraskan keperluan wilayah masing-masing.
Katanya, jaringan berkenaan juga membolehkan institusi pengajian tinggi memainkan peranan sebagai penghubung ilmu antara wilayah, sekali gus memperkayakan pengalaman mahasiswa dan warga akademik.
Pertemuan itu turut membincangkan potensi kerjasama termasuk mobiliti pelajar dan pensyarah, kerjasama akademik serta pelaksanaan program pengabdian kepada masyarakat secara bersama.
Kasim menambah, kerjasama sedemikian selari dengan aspirasi UMS untuk memperkukuh keterlihatan antarabangsa serta membangunkan bakat yang mampu menyumbang kepada masyarakat di peringkat tempatan, serantau dan global.
“Yang penting, setiap jaringan antarabangsa yang dibina perlu diterjemahkan kepada peluang sebenar untuk mahasiswa, pensyarah dan masyarakat, sama ada melalui mobiliti, penyelidikan, perkongsian kepakaran mahupun program kemasyarakatan,” ujarnya.
Kunjungan UNIVA Medan ke UMS merupakan sebahagian daripada pengisian delegasi universiti berkenaan yang berada di Sabah bagi mengikuti program Kuliah Kerja Nyata (KKN)/Pengabdian Kepada Masyarakat (PKM) Antarabangsa dari 10 hingga 24 Ogos 2026.
Kunjungan berkenaan diselaras dan diuruskan Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS sebagai sebahagian daripada usaha universiti memperluas jaringan dengan institusi antarabangsa.
Fakulti Pengajian Islam UMS turut terlibat dalam pertemuan berkenaan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah (PERKIS) Bahagian Kota Kinabalu yang diketuai Datuk Haji Jalidar Abd. Rahim.
Program itu melibatkan 15 mahasiswa bersama Ketua KKN, Dedy Suhairi, S.Pd.I., S.H.; Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat, Joharsah, S.T., S.H., M.H. serta beberapa pengiring.