UMS raih Bronze Award ICAPS 2026 di Korea Selatan 

KOTA KINABALU – Wakil Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mengharumkan nama universiti di peringkat antarabangsa apabila meraih Bronze Award ICAPS 2026 menerusi penyertaan dalam 26th International Students DesignCamp (D-Camp) di Korea Selatan, baru-baru ini. 

UMS menerusi Fakulti Kejuruteraan (FKJ) dalam satu kenyataan memaklumkan program yang berlangsung selama tujuh hari itu dianjurkan Innovation Centre for EngineeringEducation (ICEE), Jeonbuk National University, Korea Selatan dan menghimpunkan penyertaan 18 universiti dari enam negara iaitu Korea Selatan, Malaysia, Indonesia, Taiwan, Vietnam dan Singapura.

Antara institusi dari Korea Selatan yang mengambil bahagian ialah Kunsan National University, Gwangju University, Jeonbuk National University, Jeonju University, Jeju NationalUniversity, Wonkwang University, Chungnam NationalUniversity (CNU), Chungbuk National University (CBNU), Soonchunhyang University dan Hoseo University.

Malaysia pula diwakili Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan UMS, manakala penyertaan dari Indonesia melibatkan Institut Teknologi Bandung (ITB), Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) dan UniversitasMuhammadiyah Surakarta (UMS).

Penyertaan antarabangsa turut melibatkan National ChengKung University (NCKU) dari Taiwan, Hanoi University ofScience and Technology (HUST) dari Vietnam serta NanyangTechnological University (NTU) dari Singapura.

“Program ini menyediakan platform kepada peserta untuk bertukar ilmu, berkongsi idea serta membina jaringan dan kolaborasi dalam bidang reka bentuk, inovasi dan kejuruteraan.

“Bagi penyertaan UMS tahun ini, delegasi universiti itu terdiri daripada dua pelajar dan dua pensyarah. 

“Dua pelajar berkenaan ialah Clearin Johinis daripada Program Geologi, Fakulti Sains dan Teknologi dan Benny A/L Gelini daripada Program Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, selain turut disertai oleh Prof. Ar. NurakmalAbdullah @ Goh Tuo Ho dan Prof. Madya Ts. Dr. Nur FadilahDarmansah dari FKJ,” demikian menurut kenyataan tersebut. 

Kenyataan itu turut menjelaskan penglibatan delegasi UMS dalam program berkenaan mencerminkan komitmen universiti dalam memperluas jaringan akademik antarabangsa, selain memberi peluang kepada warga universiti mengembangkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam persekitaran global.

Kejayaan berkenaan turut menjadi pencapaian membanggakan buat UMS, khususnya dalam platform antarabangsa sertamembuktikan keupayaan wakil UMS untuk bersaing di peringkat antarabangsa, selain berkongsi idea dan menyumbang kepada perkembangan bidang reka bentuk, inovasi dan kejuruteraan.