The Fulbright Experience buka peluang global kepada ahli akademik dan pelajar

KOTA KINABALU: Penganjuran program The Fulbright Experience: A Fulbright Malaysia Sharing Session di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu membuka peluang global dan memberi pendedahan kepada para peserta untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai biasiswa Fulbright, program fellowship, peluang penyelidikan serta pertukaran akademik di Amerika Syarikat.

Program anjuran Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (CIGE) UMS bersama Malaysian-American Commission on Educational Exchange (MACEE) itu menghimpunkan kira-kira 100 orang peserta yang merupakan ahli akademik, guru sekolah menengah dan pelajar universiti.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata program tersebut menjadi platform kepada ahli akademik, penyelidik, pendidik dan pelajar untuk mengembangkan pengalaman serta membina jaringan di peringkat antarabangsa.

“Pengalaman ini bukan sekadar satu peluang akademik, tetapi peluang untuk mengenali cara pemikiran berbeza, membina hubungan profesional dan pulang dengan idea yang boleh memberi manfaat kepada institusi serta komuniti masing-masing.

“Di UMS, kita mahu warga akademik berinteraksi dengan dunia secara yakin, sambil kekal mempunyai hubungan yang erat dengan Sabah dan komuniti tempat kita berkhidmat,” katanya dalam ucapan aluan sempena sesi perkongsian program berkenaan baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly.

Tambah Kasim, pendedahan antarabangsa akan menjadi lebih bermakna apabila ilmu, jaringan dan perspektif yang diperoleh dapat dibawa pulang serta dikongsi untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

“Program seperti ini dapat membantu penyelidik, pendidik dan pelajar melakukan perkara tersebut, sekali gus membolehkan mereka menyumbang dengan lebih besar kepada Sabah dan Malaysia.

“Jika anda berminat, bertanyalah dan ketahui apakah peluang yang tersedia. Sesebuah permohonan boleh bermula dengan satu perbualan seperti yang kita adakan pada hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, UMS turut memaklumkan bahawa universiti itu akan menjadi institusi tuan rumah kepada seorang Fulbright U.S. Scholar dan seorang Fulbright U.S. Student Researcher pada tahun hadapan.

Kedua-dua peserta berkenaan dijangka bekerjasama secara langsung dengan fakulti di UMS dalam pelaksanaan penyelidikan bersama, sekali gus memperkukuh hubungan pendidikan dan akademik antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

UMS juga sebelum ini mencatatkan penyertaan warganya dalam program pertukaran antarabangsa apabila Profesor Madya Datin Dr. Veronica Atin menamatkan program selama 10 bulan di Vanderbilt University menerusi Hubert H. Humphrey Fellowship Program.

Sesi perkongsian tersebut turut memberi peluang kepada peserta mendengar pengalaman alumni Fulbright, termasuk sebab mereka memohon, cabaran yang dihadapi serta pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang mengikuti program berkenaan.