Sambutan Hari Malaysia di SICC dijangka tarik 3,000 pengunjung

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), 16 September ini, dijangka menarik kehadiran sekurang-kurangnya 3,000 pengunjung.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, lokasi sambutan dipindahkan dari Padang Merdeka ke SICC berikutan keadaan cuaca tidak menentu, selain mengambil kira aspek keselamatan.

Menurutnya, kawasan sambutan akan dibuka kepada orang ramai bermula jam 6 petang, manakala acara rasmi dijadualkan bermula jam 8 malam.

“Saya menjemput semua warga Malaysia yang berada di Sabah, dari jauh dan dekat, untuk sama-sama datang beramai-ramai pada 16 September 2026.

“Kita menjangkakan sekurang-kurangnya 3,000 orang. Kalau boleh, lebih ramai lebih meriah,” katanya pada Sidang Media Khas Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, di sini hari ini.

Menurutnya, beberapa program pengisian sempena sambutan Hari Malaysia turut dilaksanakan menjelang acara kemuncak pada 16 September.

Antaranya, pameran bersejarah berkaitan sambutan Hari Malaysia anjuran Jabatan Penerangan Negeri Sabah di Pusat Membeli-belah Centre Point dari 9 hingga 11 September, selain bacaan Yasin dan solat hajat pada 11 September.

Dalam pada itu, Jafry berkata, kelainan sambutan tahun ini ialah penglibatan golongan muda menerusi kumpulan Suara Hari Malaysia yang membabitkan kira-kira 300 pelajar daripada pelbagai institusi pendidikan.

Katanya, kumpulan berkenaan akan membuat persembahan khas pada sambutan Hari Malaysia di SICC.

“Yang penting bagi kita bukan sekadar sambutan tahunan ataupun perayaan, tetapi penghayatan kepada generasi muda.

“Mereka perlu memahami sejarah dan erti kemerdekaan kerana merekalah yang akan memimpin negara pada masa depan,” katanya.

Jafry berkata, kepelbagaian etnik, agama, adat resam dan budaya di Sabah perlu terus dilihat sebagai kekuatan dalam memupuk perpaduan masyarakat.

Menurutnya, sambutan Hari Malaysia bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform untuk masyarakat menghayati erti kemerdekaan serta menghargai pembentukan Malaysia.

Sambutan Hari Malaysia peringkat Sabah tahun ini akan berlangsung serentak dengan sambutan peringkat kebangsaan yang diadakan di Kuching, Sarawak.

Beliau berkata, Sabah pula dijadual menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada tahun depan.

Sehubungan itu, Jafry menyeru ketua kampung, masyarakat setempat dan semua lapisan masyarakat hadir memeriahkan sambutan berkenaan.

“Lebih penting ialah untuk kita sama-sama menghayati apa itu erti kemerdekaan.

“Kemerdekaan seharusnya menjadikan kita lebih berjaya, lebih menyayangi negeri dan negara kita,” katanya.