RM18.23 juta naik taraf asrama SMK Majakir

PAPAR: Pelaburan RM18.23 juta bagi pembinaan blok asrama baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir di sini, meningkatkan kapasiti penginapan sekolah berkenaan hampir dua kali ganda daripada 160 kepada 300 murid.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata projek berkenaan memberi penyelesaian terhadap kekangan kapasiti yang sekian lama dihadapi pihak sekolah, selain menyediakan kemudahan penginapan lebih selesa, selamat dan kondusif.

Katanya, sebelum ini asrama SMK Majakir hanya mampu menempatkan 160 murid terdiri daripada 80 murid lelaki dan 80 murid perempuan.

“Bangunan asrama lama asalnya merupakan blok bilik darjah dan pentadbiran yang kemudian diubah suai sebagai asrama bagi memenuhi keperluan penginapan murid.

“Penggunaan bangunan yang tidak dibina khusus sebagai asrama menyebabkan pihak sekolah berdepan pelbagai kekangan dari segi ruang, susun atur, kemudahan, keselesaan dan pengurusan penghuni,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Armizan berkata, kapasiti sedia ada digunakan sepenuhnya, manakala pihak sekolah terus menerima permohonan daripada murid yang memerlukan kemudahan asrama, terutama mereka yang tinggal jauh dan menghadapi kesukaran berulang-alik setiap hari.

Menurutnya, kekurangan tempat menyebabkan sebahagian permohonan terpaksa ditolak, selain ruang terhad menyebabkan beberapa kemudahan sedia ada terpaksa digunakan untuk tujuan lain.

“Bilik warden asrama lelaki terpaksa dijadikan bilik murid, manakala sebuah bilik kelas digunakan sebagai bilik persediaan belajar.

“Asrama putera juga tidak mempunyai bilik sakit khusus,” katanya.

Beliau berkata, keadaan bilik penginapan yang sesak sebelum ini turut menjejaskan keselesaan dan kualiti rehat murid, selain susun atur asrama lama menimbulkan cabaran kepada pihak sekolah dalam aspek kawalan pergerakan dan pengawasan penghuni.

Katanya, projek yang siap pada 30 April lalu itu merangkumi pembinaan dua blok bangunan asrama dua tingkat serta pelbagai kemudahan berkaitan.

“Antara kemudahan yang disediakan ialah dua rumah warden, dua bilik dormitori Orang Kurang Upaya (OKU), dua bilik umum, dua bilik isolasi, dua pejabat warden dan dua bilik penyambut tetamu.

“Turut disediakan dua gelanggang sukan, sebuah pejabat penyelia asrama dan dewan makan berkapasiti 300 orang,” katanya.

Armizan berkata, dengan siapnya blok baharu berkenaan, bangunan asrama lama akan dipertimbangkan untuk dikembalikan kepada fungsi asal sebagai bilik darjah.

Menurutnya, langkah itu sekali gus memberi manfaat tambahan kepada sekolah melalui penyediaan ruang pembelajaran yang lebih mencukupi dan kondusif.

Terdahulu, pada 26 Februari 2023, Armizan bersama Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, membuat tinjauan ke lokasi projek bagi mendapatkan taklimat dan melihat sendiri status kemajuan pelaksanaannya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan projek itu termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar, pasukan pelaksana projek, perunding dan kontraktor.