KUDAT: Sekolah Kebangsaan (SK) Dogoton menzahirkan penghargaan atas inisiatif kerajaan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyumbangkan kemudahan pembelajaran kepada pelajar.
Guru Besar SK Dogoton, Asiung Asung berkata, beliau mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, menyalurkan sumbangan berbentuk kemudahan pembelajaran buat pelajar sekolah menimba ilmu pengetahuan.
“Antara sumbangan yang kami terima pada bulan September 2026 lalu adalah, meja berlaci dan kerusi plastik sebanyak 100 unit, papan putih 12 unit, meja bankuet sebanyak lima unit, manual skrin projektor satu unit serta kerusi guru sebanyak 14 unit.
“Sumbangan tersebut amat bermakna buat kami, terutamanya buat pelajar-pelajar sekolah menggunakan kemudahan tersebut dalam menuntut ilmu, dan saya dapat lihat pelajar-pelajar sangat gembira dengan kemudahan yang diberikan.
“Lawatan Perdana Menteri sebelum ini ke Pulau Banggi, memberikan peluang untuk kami bertanya melalui pihak MKN bagaimana cara untuk mengajukan permohonan, dan hasilnya syukur apa yang kami perjuangkan Perdana Menteri telah laksanakan,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan ke SK Dogoton, di sini pada Selasa.
Beliau turut memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kudat dan telah mengemukakan beberapa permohonan untuk penambahbaikan infrastruktur lain buat SK Dogoton.
Sementara itu, Ketua Kampung Dogoton, Dahim Saludin, berharap agar kerajaan sentiasa membantu dari segi kemudahan kepada penduduk Kampung Dogoton.
“Kemudahan pembelajaran buat pelajar sekolah amat penting untuk diberi perhatian seperti pembaikan infrastruktur yang sudah rosak seperti pintu kelas dan sebagainya.
“Kami juga mohon pihak kerajaan untuk memberi perhatian berkenaan jalan raya sekitar kampung ini, dan memberi peruntukan rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada yang layak dan kemudahan bekalan elektrik yang lebih baik,” ujarnya.
Hadir sama, Pegawai Tadbir dan Diplomatik Kementerian Komunikasi, Aji Anak Kasa, Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Azman Sipan dan Pegawai Penerangan Daerah Kudat, Mohd Nizwan Mohd Daini.