PUTATAN: Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah
menggunakan sukan pickleball sebagai ruang untuk mendengar pandangan komuniti dan merancang program yang memenuhi keperluan wanita muda.
Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Datuk Martin Idang, berkata Pertandingan Beliawanis Fun Pickleball di sini, Sabtu lalu, adalah penganjuran pickleball pertama pihaknya. Sukan itu dipilih kerana semakin diminati anak muda.
“Kita kena sentiasa memenuhi keperluan semasa anak-anak muda, jadi kita pun ikut tren. Kita harap dengan program pickleball ini, kita dapat menyantuni komuniti-komuniti pickleball,” katanya pada sidang media program berkenaan.
Turut hadir menyantuni program berkenaan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya.
Dalam pada itu Emmie berkata, komuniti pickleball semakin berkembang dan Beliawanis mahu mendengar maklum balas mereka, selain membina kerjasama untuk menarik penyertaan lebih ramai anak muda.
Menurutnya, pertandingan itu disertai 21 pasukan kategori terbuka dan tujuh pasukan pelajar. Pelajar turut dijemput bagi memperkenalkan pickleball kepada mereka yang belum biasa dengan sukan tersebut.
“Kita jemput sekali sebab kita mahu mewujudkan kesedaran tentang pickleball. Dengan pendedahan pada hari ini, mereka boleh berkongsi dengan kawan-kawan dan mula menyertai aktiviti untuk gaya hidup yang sihat,” katanya.
Emmie berkata, Beliawanis berusaha merancang program yang menyentuh pelbagai keperluan anak muda. Selain sukan, pihaknya turut memberi perhatian kepada kebajikan, pembangunan kemahiran diri dan keusahawanan, termasuk melalui program Beliawanis Prihatin yang dilaksanakan baru-baru ini.
“Selepas ini kita akan fokus kepada pemasaran digital untuk usahawan muda, khususnya wanita muda. Kita cuba meliputi sebanyak mungkin aspek menerusi program, bukan sahaja sukan, tetapi juga kebajikan, pembangunan kemahiran diri dan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran program bersama komuniti juga bertujuan memperkenalkan peranan Beliawanis kepada orang ramai, termasuk mereka yang bukan ahli parti.
“Kita teruskan penganjuran program sebegini bukan sahaja kepada ahli Beliawanis, tetapi juga mendekati komuniti di luar sana supaya mereka melihat kita mementingkan pemerkasaan wanita muda,” katanya.
Pada masa sama, Emmie berkata, program itu membuka ruang untuk Beliawanis berkongsi maklumat mengenai usaha kerajaan dengan masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Nurul Syafinah James, berkata pertandingan berkenaan bertujuan menyediakan platform yang santai, sihat dan menyeronokkan untuk wanita muda.
“Objektif utama kita adalah untuk mewujudkan satu platform yang santai, sihat dan menyeronokkan, khususnya untuk golongan wanita muda, di samping mengeratkan silaturahim dan membina jaringan persahabatan melalui sukan pickleball,” katanya.