KLANG: Dua anak muda dari Tawau, Muhammad Azuan Hafizan Danilo Palmares dan Muhammad Khairul Azhar Halidin, menerima pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Tahap Emas pada Konvensyen Emas ARPRM di KSL Esplanade Klang, Selangor, baru-baru ini.
Pentauliahan itu merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian, komitmen dan usaha mereka dalam melengkapkan cabaran pembangunan diri yang ditetapkan menerusi program berkenaan.

Kedua-dua penerima berusia 20 tahun itu merupakan ahli Kelab Rakan Muda Tawau yang turut mengharumkan nama kelab berkenaan menerusi pencapaian dalam program pembangunan belia itu.
Majlis pentauliahan yang berlangsung pada 16 hingga 17 Oktober itu menyaksikan seramai 84 penerima dari seluruh negara menerima Anugerah Emas ARPRM sebagai pengiktirafan terhadap usaha mereka dalam pembangunan diri, kepimpinan dan kesukarelawanan.
Dalam pada itu, seramai 10 Alumni Emas ARPRM dari Sabah turut menyertai konvensyen berkenaan, diketuai Pengerusi Kelab Rakan Muda Tawau, Nursayfaesyah Foo.
Konvensyen itu menjadi platform untuk menghimpunkan alumni penerima Anugerah Emas dari seluruh negara bagi membincangkan hala tuju, peranan dan sumbangan mereka dalam memperkasakan pembangunan belia pada masa hadapan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah resolusi berkaitan hala tuju Alumni Emas ARPRM, termasuk usaha memastikan penerima anugerah terus memainkan peranan sebagai pemimpin muda, sukarelawan dan contoh teladan kepada generasi remaja akan datang.
Konvensyen berkenaan turut membuka ruang kepada alumni untuk berkongsi pengalaman, memperkukuh jaringan kerjasama serta meneroka peluang baharu dalam aktiviti pembangunan diri, kepimpinan, rekreasi dan gaya hidup sihat.
Delegasi Sabah turut diiringi Pemimpin dan Mentor ARPRM, Alex Dennis, yang juga ahli Jawatankuasa Operasi dan Teknikal Anugerah Kebangsaan.
Pencapaian dua anak muda Tawau itu diharap dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai remaja untuk menyertai ARPRM, meneroka potensi diri serta membina keyakinan melalui aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan kepimpinan.
Pengiktirafan berkenaan bukan sahaja meraikan pencapaian individu, malah membuka ruang kepada golongan belia untuk terus mengembangkan potensi diri, mengamalkan gaya hidup sihat dan menyumbang kepada masyarakat.